Serial Isra’ Mi’raj 2

Isra’ Mi’raj 2: kembali kepada “Manufacturer’s Manual” 

Tatkala tiba Rasulullah SAW ke Mekah, usai perjalanan Isra’ dan Mi’rajnya hingga membawa ke Sidratul Muntaha, para pembesar Quraisy bertambah angkuh seraya menafikan perkataan dan perkhabaran yang diberitakan oleh junjungan SAW yang mulia. Kenapa sampai sedemikian? Masakan tidak, perjalanan seorang manusia ke Baitul Maqdis, kemudian naik ke langit, kemudian pulang kembali ke Mekah, semuanya dalam masa satu malam, terlalu mustahil dan tidak lojik untuk diiktiraf oleh minda akal manusia. Jangankan Quraisy, pemikir-pemikir Islam masa kini pun, Hussin Haikal misalannya, turut tergelincir dalam menyikapi mukjizat Nabi SAW yang satu ini, lantaran lojik akal lebih dikedepankan berbanding wahyu dan nash yang sahih. 

Jika anda hidup di masa Hang Tuah, mana mungkin anda akan mempercayai seseorang yang baru tiba daripada India dalam masa cuma 8 jam. Namun, lantaran anda yang membaca artikel ini hidup di zaman serba canggih di mana kemajuan sains dan teknologi terkadang melangkaui pemikiran manusia (kononnya!), hal itu tidak menjadi masalah, lantaran anda sedia maklum akan peranan dan keupayaan yang dimainkan oleh sang kapal terbang. Bahkan, kapal terbang bernama Concorde bisa lebih pantas daripada itu, lantaran kepantasannya saja bisa mengatasi kelajuan bunyi! Wow… pantas sungguh rupa-rupanya! 

Begitu juga, anda yang hidup di zaman ini, tidak akan merasa hairan andainya manusia sudah sanggup untuk mengembara ke angkasa. Apatah lagi tanah air tercinta Malaysia saja bakal melepaskan angkasawan tempatan pertamanya ke ruang angkasa, terima kasih kepada pesatnya perkembangan teknologi yang berlaku kini. 

Cumanya, andainya Pak Mat yang bekerja sebagai pomen motor di kampung, dan itu pun selalu tak betul merepair motor anda, tiba-tiba melabun untuk membuat kapal angkasa, yang akan ia terbangkan ke langit raya, mungkin agak sulit untuk anda terima. 

Maka, inilah kesimpulan saya! Jika yang berkata itu ialah insan biasa nan serba dhaif seperti kita, mungkin saja sulit untuk dipercaya. Namun, andainya yang berkata itu ialah syarikat yang terbukti kejaguhannya, sering pantas kita meng-iya-kan saja kenyataan mereka. Jika Pak Din sang tukang kebun tiba-tiba hingaq mahu mereka telepon bimbit 3G, anda mula mengangkat kening tanda kurang percaya. Tapi jika syarikat mobil gergasi Nokia tiba-tiba mewar-warkan akan mengeluar telefon bimbit 3D yang pertama, umpama teknologi Star Wars lagaknya, anda pasti ternanti-nanti tanda percaya. 

Maka, peristiwa Isra’ Mi’raj menguji hal yang itu: keimanan atau kepercayaan. Di zaman itu, mereka yang benar-benar yakin akan kaliber, kebenaran dan kehebatan 2 sumber tertinggi, kitabuLLAH dan sunnah Rasul-Nya SAW, pasti tidak teragak-agak untuk membenarkan perkataan dan perkhabaran Nabi junjungan kita tadi. Kerana menurut kita, tiada yang mustahil memandangkan pihak yang bertanggungjawab memperjalankan Nabi SAW sahaja ialah ALLAH, penguasa, pentadbir dan pencipta sekian alam. Jika Nokia yang selama ini terbukti mampu mencipta telefon bimbit 3G lah, atau GRPS lah, atau walkmanlah, dan lain sebagainya, maka untuk mereka mencipta telefon 3D tadi, mungkin saja berjaya. Sedemikian itulah, ALLAH SWT yang telah menciptakan langit tanpa tiang, angkasaraya yang mengembang lagi luas terbentang, gunung-ganang sang menstabil bumi dari kegoncangan, human engineering yang serba mengkagumkan, dan lain dan lain dan lain, tentu saja ALLAH juga pasti berupaya memperjalankan Nabi-Nya SAW dalam tempoh satu malam. 

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.:(Surah al-Isra’ [17]:1) 

Apatah lagi sekadar perjalanan ke lain destinasi dalam masa nan singkat, serta penerbangan menyergah langit angkasa, sudah terbukti mampu dilakukan oleh manusia, sudah tentunya ALLAH lebih berupaya melakukan hal yang sama! 

Lantaran itu, percayalah! Percayalah pada setiap kalam Tuhan dalam kitab-Nya, dan setiap nasihat serta pesanan Nabi-Nya. Percayalah, tatkala Nabi-Nya SAW berpesanan pada kalian; 

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.”

(Sebahagian daripada kandungan khutbah al-Wida’ Nabi SAW, disampaikan pada 9 Dzulhijjah tahun 10 Hijrah) 

“Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah tertolak”

(Hadith diriwayatkan dari Al-Bukhari dan Muslim. Hadith ke-5 dalam Hadith Arbain Imam Nawawi. Dan pada riwayat yang lain oleh Imam Muslim : ” Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak dari perintah kami, maka ia adalah tertolak.” 

Dari Abi Najih bin Al-Irbadh bin Sariyah, katanya : ” Rasulullah SAW telah memberikan suatu nasihat kepada kami yang mengeletarkan hati dan menitiskan air mata. Maka kami berkata kepadanya : ‘ Wahai Rasulullah, seolah-olah ini suatu nasihat yang terakhir, maka berikanlah kepada kami suatu pesanan. ‘ Sabda Rasulullah SAW : ‘ Saya berpesan kepada kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah Azza wajalla serta mendengar dan taat sekalipun kepada seorang hamba yang memerintah kamu. Sesungguhnya orang-orang yang masih hidup di antara kamu akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan dan sunnah Khalifah Ar-Rasyiddin Al-Mahdiyyin yang beroleh petunjuk ( daripada Allah ) dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu ( berpegang teguh dengannya dan jangan dilepaskan sunnah-sunnah itu ). Dan jauhilah kamu dari pekara-pekara yang diadakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bida’ah itu menyesatkan. “

(Hadith ke-28 dalam hadith arbain Imam Nawawi) 

Lalu, semaklah kembali diri kita. Apabila muncul satu permasalahan, adakah kita akan kembali merujukkan kepada kitabuLLAH dan sunnah Nabi-Nya, atau kita dahulukan “fatwa” kepala otak kita dulu dalam menentukan jawapannya? 

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”(Surah alHujurah [49]:1) 

Bermuhasabahlah kita, tatkala dikhabarkan kepada kita betapa nash daripada al-Quran atau as-Sunnah bertentangan dengan pendirian kita, bisakah kita meminggirkan ego kita lalu merubah pendirian agar selari dengan ketetapan ALLAH dan rasul-Nya? Atau, kita enggan “percaya” kepada ketetapan yang tertera di dalam nash, lalu berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan pendirian kita, dengan mereka pelbagai macam alasan yang hanya bersumberkan lojik akal semata? 

Lalu, jika itu yang terjadi, apalah ertinya anda merayakan Isra’ dan Mi’raj, lantaran sikap anda tidak ubah seperti pimpinan Quraisy, yang menafikan dan menidakkan Nabi kita SAW, hanya kerana lebih meyakini lojik akal mereka semata-mata? Apalah salahnya kita jadi seperti seorang Abu Bakar, yang pantas membenarkan nabi Muhammad SAW, hingga gelar “as-Siddiq” dikurnia kepadanya? 

Kenapa kita masih enggan beralih ke perbankan Islam misalnya? Adakah kita tidak percaya betapa sistem ekonomi berasaskan islam, yang berpandukan nash dari ALLAH dan rasul, akan bisa menyelesaikan masalah? Atau, lojik akal anda lebih merasakan bahawa perbankan Islam justeru hanya membebankan umat?

Kenapa masih enggan mempermudahkan umat dalam masalah solat jama’ misalannya, sedangkan kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim –seperti mana juga kitab-kitab Fiqh yang muktabar- telah jelas lagi bersuluh meriwayatkan betapa solat jama’ tidak semestinya dikerjakan hanya ketika musafir semata-mata, hatta Nabi SAW bersolat jama’ tatkala hujan yang lebat! Hinggakan ketua ulama’ sedunia, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, mengeluarkan fatwa bahawa boleh saja mereka yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, untuk solat jama’ sahaja, jangan pula solat di qadha’kan seperti lazimnya pemahaman orang Melayu kini. 

Masakan tidak kita membenarkan , sedangkan ALLAH dan Rasul-Nya telah menetapkan yang demikian! Manakah yang lebih mudah diyakini, peristiwa Isra’ Mi’raj, atau penyelesaian ALLAH dan Rasul-Nya dalam masalah fiqh, masalah ekonomi, masalah politik, dan isu-isu lainnya? 

Moga kita tidak jadi “jelmaan’ Abu Lahab, Abu Jahal dan seumpanya di zaman moden ini, yang tidak meyakini dan sentiasa meragukan dalil dan haidth-hadith yang shahih.

Advertisements

About faridul

Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s