Isu Lapuk 1

ISU LAPUK: GAMBAR “TEMAN TAPI MESRA” STUDENT UPM

Faridul Farhan Abd Wahab, B.Eng, Cert Syariah  “penyatuan fikrah, bukan pemaksaan fikrah” 

Terus terang, menguruskan dan membentuk makhluk bernama manusia, terlebih sukar berbanding bergelumang dengan mesin-mesin, ataupun mengoperasikan sebuah power plant. Masakan tidak, sebagaimana ragamnya mesin ataupun power plant, dengan setting dan trouble shooting yang betul, ragam-ragamnya dapat kita minimumkan –itu pun jika tidak bisa kita perbetulkan. Tetapi, bergelumang dengan makhluk bernama manusia, tidak semudah itu untuk anda masukkan setting yang dikehendaki, lantaran manusia adalah sebuah makhluk yang mukhaiyyar[1], iaitu diberi pilihan. Lalu dengan yang demikian, sebahagian daripada mereka memilih beriman, tunduk dan patuh, sedang yang sebehagian lain memilih kufur, engkar lagi membangkang. 

Dengan sifat dan hak memilih inilah, yang mengakibatkan manusia –antara satu dengan yang lainnya- berbeza-beza, dengan karakteristiknya masing-masing, dengan citarasanya masing-masing, dengan pemahaman dan pemikirannya masing-masing. Inilah –barangkali- antara sebabnya wujud perbezaan pendapat di kalangan manusia, bahkan ianya menjadi suatu yang tidak dapat dielakkan,[2] sehingga pakar-pakar daripada Barat sahaja mengiktiraf hal ini lalu dilaksanakanlah pelbagai macam kajian tentang keberagaman manusia ini, umpama karyanya John Gray yang membicarakan dan mengkaji berbezanya lelaki dengan wanita.[3] 

Dengan menyedari betapa perbezaan ini merupakan suatu lumrah dan kemestian, asas moral dalam menyikapi fiqh ikhtilaf[4] harus dititik-beratkan. Lantaran itu, jika saya memilih salah satu pendapat di kalangan ulama’ Islam, tidak bermakna saya harus memaksakan pendapat saya itu diterima pakai oleh manusia seluruhnya, selagi mana pendapat-pendapat yang lain masih mempunyai sandaran dalilnya hingga masih boleh diterima dan diamalkan oleh umat Islam yang lain. Ertinya, saya tidak mempunyai hak mewajibkan selera saya kepada orang lain, dan melarang ketidak cenderungan saya buat orang lain. Saya tidak suka makan durian misalnya. Itu tidak bermakna saya patut mengeluarkan fatwa mengharamkan makan durian kepada orang lain. Mudah kan pemahaman sebegini?

Lalu, pada masa yang sama, jika saya katakan bahawa memakan sembelihan orang Kristian hari ini adalah dibenarkan oleh syara’ seperti yang tertera dalam Surah al-Maidah ayat ke-5, apatah lagi ulama’ tersohor seperti Yusuf al-Qaradhawi[5] dan Pak Hamka[6] turut menghalalkannya (biarpun Ibnu Umar tidak mengiktiraf Kristian hari ini sebagai ahli Kitab[7]), itu tidak bererti saya akan dan berselera untuk makan sembrono sahaja apabila pergi ke luar negeri. Pokoknya, biar pun saya mengambil pendapat ianya dibenarkan, tidak bererti saya akan makan, dan memang saya tak makan, tatkala kunjungan saya ke Australia, India dan Perancis.  

Itulah sebabnya, jika saya mengatakan pada anda, wahai pembaca budiman, betapa tiada haramnya memegang atau berpeluk dengan anjing dan babi, itu tidaklah bererti saya juga akan memegangnya. Jangankan memeluk, menyentuhnya saja saya geli. Tetapi yang hak tetap hak, maka jika pun anda cenderung mengambil pendapat Imam Syafi’e berbanding imam mazhab yang lainnya dalam masalah kenajisan babi dan anjing,[8] paling tidak yang diharamkan oleh Imam kita yang mulia asy-Syafi’e adalah memakannya, sedang jika menyentuhnya, hanya perlu dibasuh 7 kali dengan air serta air bercampur dengan tanah.[9] 

Jadi, apabila saya tiba-tiba membela pelajar veterinar UPM yang bergambar ala ”teman tapi mesra” dengan Mr. Scooby Doo dan Porky Pig, bukanlah bermakna saya menyetujui pelakuan mereka, tapi saya justeru tidak bersetuju dengan sikap yang dipamerkan oleh sebahagian besar daripada kita yang memilih sikap menghukum membabi buta. Oohh… bergambar dengan babi, kita marah, kita menghukum dan mengkritik membabi buta, takpe pulak. Kan babi juga tu (babi buta kan)? Saya mengambil sikap sebegini kerana, kenapa tidak kita menjadi pendakwah, berbanding pantas menjadi penghukum?  

Jika benar ikhlas, sepatutnya kita, andainya kitalah yang pertama-tama sekali melihat gambar tersebut, berbanding mengedarkannya kepada orang ramai, kenapa tidak kita hantar email peribadi kepada sang “model” gambar itu misalnya seraya memberikan kata-kata nasihat? Mungkin sang “model” atau pelajar tersebut mempunyai niat ikhlas yang mahu menggambarkan keterbukaan Islam pada masyarakat, maka niat dan usahanya baik, cuma caranya mungkin tidak berapa kena. Maka bukankah jika kita mengkritiknya berbanding memperbetulkannya, kita sedang mende-motivate dia hingga dia tidak mahu lagi berda’wah? Dan bukankah haram hukumnya mengaibkan saudara Se-Islam kita, tatkala hadith-hadith Nabi SAW bahkan menyuruh kita mempertahankan kehormatan saudara seiman kita?[10] Sabda Nabi kita SAW:- 

“Siapa yang menjaga rahsia seorang Muslim di dunia, ALLAH akan menjaga rahsianya di dunia dan Akhirat. ALLAH akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya itu menolong saudaranya.”(hadith riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa’I, Tirmidzi dan Ibnu Majah) 

“Siapa yang mempertahan kehormatan saudaranya, ALLAH akan menjauhkan api daripada mukanya di hari kiamat kelak.”(hadith riwayat Tirmidzi daripada Abu Darda) 

Tapi, malangnya, inilah masalah umat kita. Kita sangat suka menghukum, berbanding mendakwahi, menasihati, dan membetulkan. Kita lebih suka de-motivate orang dengan mengahalang dan mematikan keinginannya untuk berdakwah, berbanding membimbing dan menunjuk ajar ia akan cara yang sebenar untuk berdakwah. Para asatiz (ustaz-ustaz) terutamanya, cukup pakar dalam hal ini. Mereka suka menghentam orang yang mempunyai keinginan berdakwah, lantaran pada mereka hanya ustaz yang boleh berdakwah, hanya ustaz adalah kuntum khaira ummatin, tapi bila diminta pertolongan untuk urusan dakwah, barulah mereka sedar bahawa (kononnya) mereka SIBUK, dan dalam dunia ini hanya mereka sahaja yang SIBUK, sedang para engineer, para doctor, para businessman dan professional lainnya, semua skop pekerjaan mereka umpama goyang kaki dan tidak sesibuk mereka. 

Kita cukup pantas menyebarkan keburukan orang atau berita-berita sensasi yang belum pasti kesahihannya kepada orang ramai, sepertinya kes Azhar Mansor membaptiskan orang misalnya, atau air mineral ada Holy water misalnya, dan banyak lagi, tanpa kita berfikir panjang, yang lalu, dengan ketergesaan kita itu, mengakibatkan insan lain terzalimi, dan Islam mendapat imej yang buruk, seolah-olah Islam sangat menggalakkan umatnya memfitnah agama-agama lain. Mungkin kita harus berhenti sejenak untuk berfikir, sekitar 6 saat?[11] 

Inilah sikap kita. Apa saja yang bertentangan dengan selera kita, hukumnya akan menjadi haram untuk umat seluruhnya. Dan apa saja yang dibenarkan oleh diri kita, hukumnya akan menjadi halal buat umat seluruhnya. Umpama kes tadi, jika saya mempertahankan pelajar yang bergambar dengan Porky Pig dan Scooby Doo tadi, orang pun akan menengking dan menyuruh saya memegang anjing dan babi, seolah-olah jika hukumnya boleh/harus memegangnya, maka saya pun wajib memegangnya, walhal yang ingin saya tegur ialah sikap kita, bukan kelakuan pelajar veterinary tadi. Dan jika saya cenderung tidak mengambil sesetengah perkara, saya tidak makan durian misalnya, maka selayaknya saya keluarkan fatwa betapa durian haram hukumnya. Bila lagi akan kita buka minda dan berlapang dada? 

Mungkin John Gray bisa mengajarkan kembali kepada kita, betapa setiap kita berbeza, dan sewajarnya kita “menikmati” perbezaan ini. Semoga. 

RUJUKAN 

[1]        “Agenda Tarbiyah: Mencetak Generasi Rabbani”, Editor: ust. Irfan Supandi, S. Ag., Drs. M. Badawi, Auliya Press Solo (2004), ms. 59  

[2]        Dr. Abdul Karim Zaidan, “Perselisihan Dalam Syariat Islam (al-khilaf fi asy-syari’atil islamiyyah)”, Pustaka Salam (2003), ms. 16-20 

[3]        John Gray, “Men Are From Mars, Women Are From Venus”, Thorsons (1998) 

[4]        Dr. Yusuf al-Qardhawi, “Fiqh Ikhtilaf: Perbezaan Pendapat Antara Gerakan Islam Yang Dibenarkan dan Dilarang”, As-Syabab Media (2003), ms. 157-218 

[5]        Dr. Yusuf al-Qardhawi, “Halal dan Haram Dalam Islam”, versi e-book bab 2.1.17       [6]        Prof. Dr. Hamka, “Tafsir al-AzharJuzu’ 4-5-6”, Tafsiran Surah al-Maidah (ayat 5) ms. 134-145 

[7]        Sayyid Quthb, “Tafsir Fi Zhilalil Qur’an – Di Bawah Naungan al-Qur’an Jilid I, II & III”, Gema Insani (2000), Tafiran Surah al-Baqarah ayat 221 ms. 127-131 

[8]        Sayyid Sabiq, “Fikih Sunnah (Jilid 1)”, Victoria Agencie(1990), ms. 43-58

           “Terjemahan Nailul Authar: Himpunan Hadits-hadits Hukum (jilid 1), Victoria Agencie (1994), 31-60

             Dr. Yusuf al-Qaradhawi, “Fikih Thaharah”, Pustaka Kautsar (2004), ms. 21-63 

[9]        Haya Binti Mubarok al-Barik, “Ensiklopedia Wanita Muslimah”, Pustaka Jiwa Sdn. Bhd. (2001), ms. 44 

[10]      Lihat hadith-hadith berkenaan perkara ini dalam buku Fathi Yakan, “Apa Ertinya Saya Menganut Islam?”, Pustaka Salam (2000), ms. 242-246) 

[11]      Kaedah dalam bidang EQ iaitu 6 seconds ini boleh dikaji di http://www.6seconds.com/

Advertisements

About faridul

Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s