Resume Sang Agung

RESUME SANG AGUNG

Faridul Farhan Abd Wahab “Mencetak anak-anak dunia”

Pada usia berapa tahunkah anak anda sesuai untuk disajikan dengan perkembangan politik, ekonomi, mahu pun ilmu pengurusan? Tentu, menjadi suatu yang kelihatannya mustahil untuk kanak-kanak dewasa ini mengetahui serba-sedikit perkembangan politik, ekonomi, sosial, pengurusan dan ilmu-ilmu “orang dewasa” lain seumpamanya, tatkala masjid segah Masjid Shah Alam sahaja meletakkan papan tanda “Kanak-kanak di bawah usia 6 tahun di larang memasuki dewan solat”.

Begitulah, betapa rendahnya masyarakat kita memandang dan melayani potensi kanak-kanak. Dengan layanan dan anggapan seperti ini, wajarkah remaja hari ini dipersalahkan tatkala kurang memiliki sifat self responsibility dan self belonging, sedang ia sendiri dibesarkan dalam nada tidak layak untuk mengambil tahu hal orang lain, lantaran double standardnya kita dalam meletakkan taraf ilmu sosial dan politik? Dengan layanan dan anggapan seperti ini, wajarkan remaja hari ini dipersalahkan apabila mereka tidak mandiri dan sering menjadi graduan menganggur, lantaran mind-set yang terbina sejak zaman kanak-kanak dan alam persekolahan ialah mind set spoon feeding dan makan gaji, hingga tidak kreatif dan tidak punya daya survival yang tinggi?  

Wajarkah remaja hari ini dipersalahkan bilamana mereka menjauhi masjid, sedang di zaman kanak-kanak sahaja mereka telah didiskriminasi untuk tidak dibenarkan memasuki dewan solat, atau diberikan mereka saf yang paling belakang dan paling hampir dengan pintu (lalu mereka pun cabut lari lantaran dekat sangat dengan pintu)? 

Wajarkah remaja hari ini gagal melengkapkan diri dengan potensi-potensi dan kualiti manusia “agung”, sedang proses tumbesaran mereka sejak zaman kanak-kanak, sudah membantutkan percambahan potensi-potensi ini tika mana tidak didedahkan dengan ilmu sosial, politik, management, business dan ilmu-ilmu bermanfaat yang lainnya? 

Barat memandang tinggi kanak-kanak, sehingga anak-anak kecil sahaja sudah terbiasa diajak berbincang isu-isu nasional dan internasional, seperti kisah anak beranak di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam ke Dublin[1], selain hak dan bakat kanak-kanak makin lama makin dikembangkan. Lalu, tidaklah menghairankan tatkala orang-orang Barat mendewasa dengan menjadi “manusia agung” sama ada dalam bidang politik, sains, teknologi, business dan lain-lainnya. Ustaz Hasrizal menceritakan dialog anak-beranak Irish itu sebegini;

“Ayah, kenapa kita belum masuk ke pesawat?”, tanyanya.

“Mereka sedang membersihkan pesawat, mengisi minyak, menyusun majalah, dan menyediakan makanan untuk kita”, jawab si ayah sambil bermain dengan rambut anaknya.

“Kenapa pesawat ini berwarna hijau dan pesawat lain berwarna biru?”, tanya si anak lagi.

“Pesawat ini adalah Aer Lingus. Ia warna pesawat negara kita. Pesawat biru adalah pesawat orang Dutch. Asalnya semua pesawat berwarna putih, kemudian ia dicat mengikut syarikat yang membelinya”, balas si ayah.Mereka saling melunjurkan kaki ke dinding cermin.

“Kenapa warna asal pesawat ialah putih?”, si anak terus bertanya.

“Mungkin itu peraturan pihak berkuasa Aviation antarabangsa”, sambut si ayah semacam tidak dipedulikan anaknya yang hanya berusia empat atau lima tahun.Saya ketawa kecil sendirian. Lucu melihat gelagat si anak yang bertanya dan terus bertanya. Ayahnya pula tidak pernah jemu menjawab setiap soalan yang ditanya oleh anaknya itu…”

“..Tetapi rata-rata saya dapat melihat bagaimana ibu bapa, khususnya mereka yang berpendidikan, begitu memuliakan anak-anak. Memuliakan dalam erti kata, mereka tidak melayan anak-anak seperti ’separuh manusia’ yang hanya ada fizikal untuk dilayan. Malah keperluan mental dan emosi anak-anak turut diusahakan sebaik mungkin.

Lihat sahaja jawapan ayah kepada anaknya tadi. Si bapa tidak menunjukkan yang anak itu masih kanak-kanak, terhad keupayaan memahami atau soalannya hanya membuang masa. Malah si bapa terus menjawab soalan demi soalan secara orang dewasa. Bapa bukan sekadar mahu menjawab dan memahamkan si anak, tetapi sentiasa meletakkan jawapan di paras yang sedikit tinggi, dengan galakan untuk terus bertanya, supaya anak mengejar standard itu.Sentuhan pada usia muda seperti ini amat penting untuk menyuntik potensi anak-anak. Jangan dimatikan kebolehan anak-anak dengan kemalasan ibu bapa.”[2]

Lihatlah proses tumbesaran Nabi kita SAW yang mulia dalam perjalanannya menjadi “manusia agung”. Segalanya telah bermula, dilentur dan dibentuk semenjak masih “rebung” lagi. Bukan suatu kebetulan ia dilahirkan dalam keadaan yatim, kemudian tidak lama kehilangan datuknya juga, sehingga pertumbuhan pertama kehidupannya jauh dari asuhan bapa dan tidak mendapat kasih sayang dari ibunya.[3] Barangkali, kekontangan kasih sayang inilah yang membibitkan sifat berdikari selain daya sensitiviti yang tinggi, lagi bijak menyelami perasaan insan-insan yang perlukan kasih sayang.

Waktu beliau hidup bersama datuknya Abdul Muthalib(umur 6 – 8 tahun), beliau sering dibawa datuknya ke mana sahaja, termasuk pertemuan-pertemuan penting para petinggi Quraisy.[4] Dengan hadirnya Rasulullah bersama-sama Abdul Muthalib ke sidang “parlimen” Quraisy bernama Darun-Nadwah[5], Rasulullah SAW telah mendapat tempaan politiknya sejak kecil, yang sedikit-sebanyak mempengaruhi kebijaksanaan Rasulullah SAW berpolitik di kemudian hari. Benarlah jangkaan Abdul Muthalib; “Biarlah anakku ini, kerana demi ALLAH sesungguhnya ada baginya keistimewaan.”[6]

Umur 8 hingga 12 tahun, baginda sudah bisa mencari nafkah dengan mengembala kambing. Dari tempaan politik, baginda kini menerima tempaan management. Juga dari kehidupan serba elit bersama para pembesar Quraisy, beralih ke kehidupan rakyat jelata; dua alam yang serba berbeza sehingga baginda bisa mengerti budaya kedua-duanya. Semua beban itu (emosi, politik dan management) sudah dipikulnya semenjak berumur 8 tahun. Bandingkan dengan anak-anak kita, apa yang sedang mereka lakukan di usia 8 tahun?

Umur 12 hingga 15 tahun, baginda sudah memiliki pengalaman perjalanan ke luar negeri, lantaran terbiasa mengikuti pamannya Abu Thalib pergi berdagang. Ini sangat penting kerana perjalanan yang jauh itu memberikan pelajaran yang banyak tentang alam, tentang manusia-manusia baru, tentang karakter dan budaya setempat, dan tentang pelbagai macam hal. Juga tentang tempaan berdagang atau business.

Umur 15 hingga 19 tahun, baginda terlibat dalam peperangan Fijar, yang memberikan pula tempaan militer buat baginda. Umur 20 hingga 25 tahun, baginda menjadi pengusaha dengan investornya bernama Khadijah (R.A). Dan, di usia sebegitu muda, membukukan sebuah sukses yang serba gemilang.

Lihatlah betapa padatnya pengalaman Rasulullah begitu sampai usia 25 tahun, dengan seluruh pengalaman yang diperlukan oleh “orang besar”, sudah diraih oleh Rasul kita Muhammad SAW. Hingga kemuncaknya diangkat oleh masyarakat, begitu menjangkau usia 35 tahun, sebagai “al-amiin”, sebuah pencapaian yang jauh lebih bernilai berbanding raja sms seumpama Mawi.

Dengan resume sebegini hebat, tidak hairanlah beliau menjadi model terbaik akan insan yang berjaya di kedua-dua alam: alam dunia dan alam akhirat. Beliau seorang tokoh dalam masalah kepimpinan, masalah ketenteraan, masalah sosial masyarakat (kemasyarakatan), masalah kaunseling kekeluargaan, masalah perdagangan, dan lain-lain potensi duniawi lainnya, tapi pada masa yang sama insan yang paling hebat dari segi amal ibadahnya. Sedang kita, yang berjaya dalam urusan dunia, sering tidak perform dalam urusan Akhirat. Qiamulailnya masih malas-malasan. Usrah dan halaqah tidak bisa ia rancakkan. Hartanya lebih banyak pada urusan peribadi berbanding urusan agamawi. Sedang yang cemerlang dalam urusan akhirat, sering mandom dalam kehidupannya menguruskan urusan keduniaan. Semuanya kerana kurangnya pendedahan sejak usia kecil, tidak sepertimana ALLAH mempersiapkan Nabi-Nya SAW untuk urusan besar, semenjak usia masih kecil.

Mungkin sudah tiba masanya kita menyemak cara kita mendidik (tarbiyah) anak-anak kita. Mari kita belajar daripada resume agung Nabi SAW yang mulia ini, moga kita berjaya menjadi pendidik (baca:ibu bapa) yang lebih cemerlang, dan anak-anak kita menjadi anak didik yang lebih terbilang.

 “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik (mentarbiyah) aku waktu kecil” (Surah al-Isra [17]:24) 

RUJUKAN 

[1]        Rujuk artikel Hasrizal Abdul Jamil bertajuk “Manusia Separuh Manusiawi” di URL http://saifulislam.com/?p=1199. 

[2]        Ibid 

[3]        Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy, “Sirah Nabawiyah: Analisis ilmiah manhajiah terhadap sejarah pergerakan Islam di masa Tasulullah SAW (Fiqhus Sirah)”, Darul Fajar-Robbani Press(2000), ms. 29-33

[4]        Anis Matta, “Demi Hidup Lebih Baik”, Cakrawala Publishing(2007), ms. 87-95

[5]        Syaikh Shafiyyur-Rahman al-Mubarakfury, “Sirah Nabawiyah (ar-Rahiqul Makhtum)”, Pustaka al-Kautsar(2000), ms. 43-45

 [6]        Dr. Mustafa al-Siba’ei, “Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW”, Pustaka Darussalam(2004), ms. 2-3

About faridul

Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari
This entry was posted in Serial Pengorbanan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s