ALLAH, Rabb Sekalian Alam

ALLAH, Rabb Sekalian Alam

Engr. Faridul Farhan Abd Wahab  “Sekadar pandangan untuk dibincangkan”

 

Saya bukanlah ustaz, apa lagi mufti. Tidak layak mengeluarkan fatwa, apa lagi berijtihad sendiri. Namun, berdasarkan kaedah atau prinsip atau “rumus” umum dalam syariat –semisal rumus umum dalam bidang elektrik adalah V=IR – maka kaedah itu menyatakan “semua perkara adalah harus/ halal selagi tiada dalil yang mengharamkan.”

 

Nah, berdasarkan kaedah umum ini, begitu anda ditanya apakah hukum makanan sekian-sekian, perkara sekian-sekian, dan lain sebagainya, yang harus anda lakukan adalah pertama sekali menganggapnya halal/ harus, barulah menyemak sama ada ada dalil yang membawa kepada keharamannya.

 

Berdasarkan kaedah ini, mari kita semak, atau komentar, tentang kontroversi penggunaan istilah “ALLAH” oleh orang Kristian umumnya, dan akhbar Herald khususnya. Sekali lagi, saya bukanlah orangnya yang boleh mengatakan “boleh” “tidak boleh” terhadap isu ini, tetapi saya sekadar memberikan pendapat sekaligus pertanyaan, yang mungkin boleh difikirkan bersama-sama oleh para mufti, atau majlis fatwa kebangsaan, atau siapa sahaja yang berkelayakan mengeluarkan hukum, atau “perasan” bahawa dialah orang yang paling benar dalam mengeluarkan hukum.

 

Pertanyaan saya yang pertama, benarkah istilah atau nama “ALLAH” hanya dikenali oleh umat Islam semata-mata? Di dalam Holy Bible yang diterbitkan dan diedarkan secara percuma oleh The Gideons International, di bahagian awal Bible itu, dengan penuh bangganya mereka mengatakan bahawa Bible ini sudah diterjemahkan ke dalam 1100 bahasa, seraya memberi contoh ayat John 3:16 berbunyi “For God so loved the world that He gave His only begotten Son…” Di dalam bahasa Arab, ayat ini diterjemahkan menjadi “Li annahu hakadza ahabbaLLAHul ‘alam jatta badzalab nahu…”

 

Nah, perhatikan, istilah “God” atau “Tuhan”, begitu Bible diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, perkataan itu diterjemahkan menjadi “ALLAH.” Lalu, saya ulang kembali soalan saya tadi, benarkah hanya umat Islam mengenali atau mengguna pakai nama ALLAH?

 

Persoalan kedua, apakah hanya Herald, atau umat Kristian di Malaysia, atau umat Kristian abad kini, yang menggunakan istilah ALLAH sebagai merujuk kepada Tuhan mereka? Bukankah ALLAH SWT telah menjelaskan masalah ini 1400 tahun dahulu di dalam kalamNya:-

 

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ۖ ذَٰلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ ۖ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ ۚ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ ۚ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

 

“Dan orang-orang Yahudi berkata: Uzair ialah anak Allah dan orang-orang Nasrani berkata: Al-Masih ialah anak Allah. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?” (SUrah at-Taubah [9]:30)

 

 

Ternyata, berdasarkan ayat al-Quran ini, bukan sahaja umat Kristian, bahkan umat Yahudi pun telah dirakamkan oleh ALLAH sendiri menggunakan nama Diri-Nya, dengan segala macam kesalahan, penyelewangan dan ketidak benaran. Tetap sahaja, biar pun ALLAH, Rasul dan orang beriman seluruhnya sudah maklum akan hal ini, tidak pula kita menjumpai ayat al-Quran, atau belum lagi saya bertemu hadith Nabi SAW, yang kemudiannya menyuruh kita orang beriman untuk menghalang orang Yahudi mahu pun Kristian daripada menggunakan nama ALLAH. Bahkan ALLAH –di dalam ayat yang lain- bahkan menganjurkan, atau –berdasarkan pengunaan kalimah “qul” “katakan” yang merupakan fi’il amar– mengarahkan, agar begitu kita berbahas dengan ahli kitab, antara titik temu yang ingin kita sama-sama capai, ialah kita menyembah, mengabdi diri hanya pada ALLAH, tanpa menyekutukan Dia dengan siapa pun. Bagaimana mungkin ahli kitab bertemu dan bersetuju dengan kita dalam hal ini, andai mereka sendiri tidak kenal siapa itu ALLAH?

 

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ ۚ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

 

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.” (Surah ali Imran [3]:64)

 

Ketiga, andainya menggapai maslahat dan menolak mafsadat (mudharat) menjadi hujahnya, saya kurang bersetuju dengan pandangan ini. Benarkah dengan sekadar menghalang penerbitan Kristian daripada menggunakan kalimah ALLAH sudah cukup untuk mengelak orang Melayu daripada murtad? Benarkah kerana istilah ALLAH ini sebab dan punca utama ramai mereka murtad? Persoalan ini hampir sama dengan sikap masyarakat kita yang bergembira dan meraikan kemenangan mahkamah yang melarang Lina Joy daripada menukar nama kepada nama Kristian, walhal hakikatnya dia tetap murtad! Benarkah dengan bersikap defensive sebegini –melarang itu, melarang ini- kita telah berjaya menyelesaikan masalah, berbanding mengambil langkah offensive dengan menggiatkan lagi dakwah, menganjurkan siri dialog antara agama yang boleh saja dijemput pakar perbandingan agama luar Negara seperti Dr. Zakir Naik, Dr. Jamal Badwi dan sebagainya, langkah yang lebih tepat untuk menjernihkan kembali kekeliruan berkaitan agama? Bukankah kegagalan kita menerap dan memperkukuhkan akidah di kalangan umat adalah punca sebenar meningkatnya kes murtad, lantaran kesibukan kita yang lebih menitik beratkan soal fikh hukum, soal politik, soal kepartian, soal bagaimana menyalah gunakan kuasa, lalu kemudiannya kita menyalahkan orang lain semata-mata?

 

Bukan sahaja masalah sebenar gagal kita selesaikan, kita mencipta pula masalah yang baru, di mana masyarakat non-Muslim pula melihat kita –atau lebih tepatnya melihat Islam- sebagai sebuah agama yang menindas, bahkan masuk campur dan menghalang amalan agama mereka, sedang seharusnya mereka harus kita dakwahi kepada Islam!

 

Berdasarkan hujah, dalil dan persoalan ini, mungkin pihak yang sewajarnya harus setidak-tidaknya mengambil ia sebagai input, sebelum menjatuhkan hukum yang sewajarnya. Kerana ternyata langkah yang kita ambil lebih membawa kerugian berbanding keuntungan, melainkan ada dalil yang nyata yang menyokongnya. Ingatlah perkataan yang kita sebut ulang dalam solat kita 5 kali shari semalam, bahawa ALLAH adalah Rabbul ‘alamin, bukannya Rabbul muslimin.

Advertisements

About faridul

Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to ALLAH, Rabb Sekalian Alam

  1. faridul berkata:

    Alhamdulillah, hari ni bila saya check internet, rupa-rupanya pendapat saya turut dikongsi oleh Tuan guru Nik Aziz (rujuk http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=16481&postdays=0&postorder=asc&start=15 ) dan juga Dr. Mohd Asri (rujuk http://drmaza.com/home/?p=566)

  2. faridul berkata:

    Saya dimaklumkan oleh sahabat saya bahawa Nik Aziz turut mengeluarkan kenyataan yang sama di dalam berita semalam. Alhamdulillah… MArilah kita saling berdiskusi bersandarkan dalil, bukan emosi dan logik akal semata-mata

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s