Mimpi Kemarin (semalam) Adalah Kenyataan Hari Ini

“Hai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada ALLAH, dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah ia kerjakan untuk hari esok…”

(Surah al-Hasyr [59]:18)

Ikhwah wa akhawat yang dikasihi sekalian,

Mari kita mengucap sejambangan syukur, kerana ALLAH SWT telah mengurniakan kepada kita sebuah kebaikan, tatkala didorongkan hati-hati kita untuk turut sama dalam perjuangan. Dan tidaklah bermanfaat sesebuah perjuangan itu, andainya tidak disulami dengan sebuah evaluasi dan muhasabah berpanjangan. Di sini, kita bisa menilai kembali keikhlasan kita, kesungguhan kita, pengorbanan kita, dan tajarrud wa intima’ kita, sepanjang melayari samudera perjuangan yang serba melelahkan.

Melelahkan, mungkin. Tetapi apalah lelah di kehidupan seketika, berbanding ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan berpanjangan di Akhirat sana. Kejayaan dan kemuliaan, yang hanya dipersiapkan tatkala kita rela berjuang. Tatkala kita rela berkorban. Tatkala kita rela berlelahan. Tatkala kita rela menginfaqkan diri kita, jiwa kita, harta kita, dan seluruh pemilikan kita –yang justeru bukan pun milik kita, tetapi milik Dia- untuk memenuhi tuntutan perjuangan yang penuh keredhaan.

Ketika ini kita lakukan, maka sungguh –bak kata pendahulu kita Imam asy-Syahid Hassan al-Banna- mimpi semalam benar-benar sudah menjadi kenyataan pada hari ini. Dan dengan kesungguhan dan keistiqamahan yang tetap berterusan, bahkan digandakan, kita meyakini bahawa apa yang kita mimpikan dan impikan pada hari ini, insyaAllah bakal menjadi kenyataan esok hari. Perjuangan yang sememangnya didasarkan pada petunjuk dari Kitab-Nya dan sunnah Rasul-Nya, tentu pasti akan terrealisasi umpama pelangi indah di penghujung hari. Bumi yang sempit kan terasa luas. Jiwa yang terkurung kan terasa bebas. Hati yang murung kan terasa redha. Tatkala dakwah kembali memimpin umat ini kembali kepada keredhaan Ilahi Rabbi.

Dan kalian, wahai ikhwah dan akhawat ku, adalah player-player di lapangan yang akan memastikan gol-gol indah itu ter”jaring”. Kalianlah bintang-bintang, yang lebih hebat daripada Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi atau Wayne Rooney, yang akan membawa “pasukan” Islam menjulang “piala” kejayaan, tidak sekadar di Syurga Akhirat yang telah terjanjikan, tetapi juga dalam kehidupan dunia yang dinanti-nantikan. Umat ini, wahai saudaraku, sedang tercari-cari arah dalam menentukan hala tuju mereka. Maka, dengan dakwah yang kita lancarkan, kelak membawa mereka untuk menjadi “supporter” yang akan bersama-sama kita dalam melawan pasukan “Jahiliyah”, pasukan “kemungkaran”, pasukan “kejahatan”, yang tidak akan pernah puas untuk berlawan dan menentang perjuangan kita. Yang rterungkap oleh umat ini dalam sorakan mereka selepas ini, hanya satu kata: Islam!

Inilah gambaran dakwah kita di Mihwar Muassasi. Jika di permulaan dakwah, di Mihwar Tanzimi, dakwah lebih bersifat “kita-kita”. Bumi yang kita diami, masyarakat yang kita gauli, kehidupan yang kita kenali, Cuma berputar sesama aktivis sefikrah semata-mata. Dulu kita kecil, tetapi kita bahagia. Kita tidak ramai, tetapi kita gagah perkasa. Mihwar Tanzimi membentuk dakwah kita untuk memiliki kekuatan dan kehebatan yang luar biasa, yang hanya akan di”ledak”kan ketika tiba masanya, iaitu ketika umat telah siap menerima dakwah sebagai “aqidah” dan cara hidup mereka.

Kemudian, dengan membesarnya dakwah ini, umat menuntut kita untuk berbagi bahagia bersama mereka. Maka, kita pun melangkah ke mihwar Sya’bi, menyalurkan keindahan dakwah ini kepada masyarakat. Komuniti kita yang dahulunya terbatas, kini sudah semakin luas. Dakwah Ammah wa Harakah Zahirah sudah mula mengambil alih corak dan trend pelaksanaan dakwah ketika ini. Hidup kita bukan lagi “kita-kita” lagi, tetapi hidup kita sudah harus untuk dikongsi. Dikongsi dengan umat di luar sana. Di kampus, kita bukan lagi kelompok “elit” di tengah-tengah masyarakat. Mereka tidak lagi melihat kita “berbeza”, tetapi kini, mereka melihat kita “istimewa.”

Kini, di Mihwar Muassasi, dakwah tidak lagi sekadar menjadi sebahagian masyarakat, tetapi sudah saatnya dakwah menjadi pemimpin masyarakat. Sudah tidak ada pilihan lain, melainkan Islam menjadi rahmatil lil ‘alamin, sesuai dengan sifat yang telah dikurniakan oleh ALLAH kepadanya. Bumi ini sudah kembali memohon, agar orang-orang salih mewarisinya, dan dakwah ini, memang sejak awal menghasilkan produk-produk salih itu. Namun ikhwah wa akhawat kesayanganku sekalian, sudahkah kita bersedia untuk memenuhi segala macam tuntutan umat yang memerlukan khidmat kita itu?

Maka, atas alasan itulah kita berkumpul. Kerana untuk menjadikan mimpi kita menjadi reality pada esok hari, kita harus merancang. Dan terlebih penting, kita harus melaksanakan. Sebegitu juga dengan kondisi hari ini. Sudahkah mimpi kita semalam, telah terrealisasi dalam kehidupan kita hari ini? Jika belum, di mana silapnya? Adakah kerana lemahnya perancangan kita? Atau kurangnya usaha kita? Atau kemutnya pengorbanan kita? Atau kotornya keikhlasan kita? Tanpa mengenali kelemahan dan kesilapan kita, sulit untuk kita melangkah laju, memecut dan memenuhi tuntutan dakwah di mihwar ini.

Gunakanlah kesempatan selama berprogram kali ini, bukan sekadar untuk bercakap, tetapi yang terlebih penting, untuk berbuat. Kerana antara hikmah ALLAH kurniakan kita 2 tangan, 2 kaki, dan beribu otot dan sendi, sedang hanya 1 mulut, agar kita lebih banyak berbuat, berbanding bercakap. Dan dianugerahkan kita 2 telinga dan 2 mata berbanding 1 mulut, agar kita lebih banyak mendengar dan bermuhasabah, berbanding terarah pada retorika semata-mata.

“Hai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu katakan apa yang kamu sendiri tidak berbuat? Amat besar kebencian di sisi ALLAH, terhadap orang yang bercakap tetapi ia sendiri tidak berbuat.”

(Surah ash-Shof [61]:2-3)

Marilah kita berdoa, agar ALLAH terus melorongkan jalan kebaikan kepada hati kita, lalu menyatulah hati kita dalam keredhaan-Nya. Kerana sesungguhnya tangan ALLAH bersama jemaah. Dan tiadalah jemaah yang lebih berbisa, melainkan jemaah yang ALLAH sendiri telah menyatukan dan memateri hati-hati mereka.

Wabillahi taufiq wal hidayah.

Wassalamu’alaikum warahmatullah.

(adaptasi ucapan perasmian sebuah program. Moga bermanfaat untuk semua)

About faridul

Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

3 Responses to Mimpi Kemarin (semalam) Adalah Kenyataan Hari Ini

  1. zaimm86 says:

    bagus lah,,ayuh kita perkasakan lagi dakwah di medan kita….

  2. MKRI says:

    mohon untuk berkongsi artikel ini

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s