Tazkirah sempena Nuzul Quran

Sejak saya masih kecil –hatta di zaman “Jahiliyah” saya sekalipun- saya sudah berniat, berazam dan bertekad, bahawa dalam kehidupan yang serba sementara ini, sekurang-kurangnya saya harus mengIslamkan satu orang non-Muslim. By hook or by crook, satu orang harus mendapat hidayah di tangan saya. Sekurang-kurangnya.

Alhamdulillah, hanya setelah berkhidmat di Power Plant saya, cita-cita dan impian saya itu termakbul. Saya berjaya mengIslamkan seorang warga Nepal yang berkhidmat sebagai cleaner di tempat saya. Itu pun, entah betul saya yang mengIslamkan beliau entah tidak, kerana memang beliau sudah menunjukkan kecenderungan untuk berIslam, saya hanya memudahkan jalan untuknya. Membimbing dan mentarbiyyahnya. Meluangkan masa untuknya. Untuk akhirnya terpisah saat beliau bertukar kerja ke tempat lain.

Sebetulnya, jika kita merasakan bahawa kitalah yang memberi hidayah kepada seseorang, justeru kita tersilap. Memang, bahasa hadithnya “jika seseorang beroleh hidayah lantaran engkau…”, tetapi hakikatnya kita ini bukan siapa-siapa. Bukan apa-apa. Bukan tera mana. Apa yang terbit dari mulut, hanya bisa masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Apa yang muncul dari hati, itulah yang bisa memberi kesan nan hakiki.

Dan hati, siapakah Sang Pemegang hati? Siapa lagi kalau bukan Dia; Rabbul Izzati. Kerana itu, tatkala kita hanya bersandar pada kekuatan kita, keupayaan kita, kebolehan kita dan kelebihan kita, kita tak akan pernah mampu mengungguli manusia. Tetapi, tatkala pengharapan kita dan sandaran kita pada Dia; Tuhan Yang Maha Esa, kita akan dapati bahawa kita mulia kerana Dia, dan tak akan pernah hina selamanya selagi mana kita dimuliakan oleh Dia. Kita ini kuat kerana Dia, dan tak akan lemah selamanya seandainya Dia memperkuatkan diri kita. Kita ini juara kerana Dia, dan tak mungkin kalah selamanya tatkala kita dijuarakan oleh Dia. Sudah lupakah dikau pada firman-Nya?

“Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah-lah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Anfal [8]:17)

Saudaraku,

Marilah kita kembali meletakkan pengharapan dan ketergantungan kepada-Nya. Dengan demikian, seorang yang tidak petah pun, bisa berhadapan si penguasa zalim seagung Firaun, hasil kekuatan yang dikurniakan kepadanya. Bukankah itu yang dipohon oleh Musa, tatkala setia memenuhi arahan dan perintah dari Tuhannya?

Pengharapan dan ketergantungan itulah yang dilakukan oleh Dzun-Nun –Nabi ALLAH Yunus- tatkala tiada upaya, tiada kekuatan, tiada kegagahan yang bisa mengeluarkan dirinya dari batang tubuh sang ikan Paus, sebelum ALLAH menyelematkan dirinya daripada “kegelapan dalam kegelapan”. Kegelapan perut ikan, di tengah gelap laut dalam, di tengah kepekatan malam.

Dan, pengharapan dan ketergantungan itu tidak sekadar dengan usaha dan upaya kita, tetapi selanjutnya dengan doa penuh harap dan tidak putus-putus kepada-Nya. Kerana doa itu, menurut baginda Nabi, adalah “senjata” orang-orang mukmin. Dan apakah lagi senjata yang bisa kau sandarkan, kalau bukan “senjata” memohon harap kepada ALLAH?

Maka, sempena nuzul Quran ini, dengan memahami Quran itu turunnya untuk yukhrijuhum minaz zulumati ilan nur (mengeluarkan manusia dari gelap jahiliyah/ kekafiran kepada cahaya/ Islam), maka, selari dengan cita-cita dan impian mengIslamkan orang yang telah kita tanamkan sejak awal usia kita tadi, apakah salah mendoakan orang mendapat hidayah?

Ya ALLAH, berikanlah kami hidayah….

Ir. Faridul Farhan Abd Wahab  “doa untuk saudara tanpa pengetahuannya”

About faridul

Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s