28 Ramadhan

Malam tadi, malam 28 Ramadhan, saya menyelesaikan tugas dan tanggung jawab saya terhadap surau kariah saya untuk Ramadhan tahun ini. Membuka dan mengemas surau, melaungkan azan seraya memanggil jemaah untuk datang bersolat isyak, sambil mengimami solat sunat tarawikh, hajat dan witir sebelum berlangsungnya majlis bermaaf-maafan sesama jiran. Esok, Rabu 29 Ramadhan, saya akan pulang ke kampung saya, menunaikan hak keluarga yang sekian lama terabai, iaitu berbuka puasa bersama-sama keluarga. Sungguh pun berbaki 1 hari lagi saya di sini, saya telah meminta izin daripada jawatankuasa surau untuk solat di luar malam ini. Maafkan saya, untuk kali ini saya pula mahu bersikap selfish, ingin melepaskan rindu bersolat tarawikh di masjid KLIA, memperbaiki hafalan quran saya dengan mendengar lantunan ayat-ayat suci sang imam, yang sungguh menyentuh hati dan menusuk kalbu, menghangatkan kekhusyukan, dan membasahkan diri dengan keimanan.

Ertinya, saya hanya akan sempat berpuasa –insyaALLAH- satu hari sahaja bersama keluarga saya. Menurut hitungan cara klasik datuk saya (Tuan Guru Hj. Salleh) dan pengiraan saintifik cara moden ayah saya (Dr. Abdul Wahab Arbain), hari Khamis merupakan hari Raya Aidilfitri, kerana anak bulan sudah jelas kelihatan sebelumnya. Tidak tahulah pula bagaimana keputusan kaedah teropong pakcik saya (Sahibus Samahah Mufti Selangor), tentu hari Jumaat gamaknya. Inilah indahnya hidup di dalam keluarga yang di kelilingi ramai lulusan bidang agama; kita dapat menceduk rahmat perbezaan pendapat sesama mereka. Yang menjadikan perbezaan itu musibah sebenarnya, ialah tatkala sang ustaz menutup pintu kepada perbincangan sejak dari awal, hingga menimbulkan perseteruan, mencambahkan permusuhan. Dan inilah yang kita sering saksikan terjadi di luar sana.

“Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.”
(Surah Hud [11]:118-119)

Sudah dua kali Ramadhan rutin hidup saya begini: tidak banyak solat tarawikh di “luar” kariah, tidak sempat berziarah dan berpuasa bersama keluarga, semuanya demi melaksanakan tanggung jawab saya sebagai siak surau. Sebagai bilal surau. Sebagai imam surau. Sebahagian orang, mereka boleh datang-tidak datang ke surau sesuka hati mereka, kerana pada mereka, “akan tetap ada orang yang menguruskan” surau nanti. Bayangkan saja jika saya pun bersikap selfish seperti itu. Barangkali tidak akan ada yang sudi menjadi “imam bidan terjun” ketika mana imam bertugas yang telah pun kita susun dan setujui jadualnya, pun tidak datang bertandang untuk mengimami solat tarawikh bersama jiran-jiran. Untuk membantu mengemas dan membuat persiapan surau, jauh sekali. Atau membasuh pinggan-mangkuk selesai moreh, tentunya akan “mencemar duli.”

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan”
(Surah an-Nisa’ [4]:36)

Jujurnya, saya rasa bersalah untuk menceritakan hal ini. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menceritakan bahawa antara sebab beliau lambat menuliskan autobiografi dirinya adalah kerana ianya sama dengan menuliskan dan berbicara tentang diri sendiri. Mau tidak mau, ianya akan terwarnai dengan sikap membaguskan diri sendiri, mengagung-agungkan atau menghiasi diri sendiri di mata pembacanya, selain mendorong orang mengatakan “aku begini dan aku begitu”, sedang kata “aku” yang diungkapkan oleh makhluk, adalah kalimat yang dibenci dan merupakan awal kata buruk yang diucapkan oleh Iblis. Bukankah kisah penolakan, pengingkaran dan kesombongan, semuanya bermuara daripada kalimah ini? “Engkau ciptakan aku daripada api, sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah” (Surah al-A’raf [7]:12)

Tetapi, saya terpaksa mengungkapkan hal ini, agar anda yang membacanya, terutamanya para aktivis dakwah, terutamanya yang merasakan betapa merekalah yang harus memimpin umat, dapat reserve sedikit perasaan, sedikit perikemanusiaan dan sedikit perhatian kepada orang-orang ini. Orang-orang yang terpaksa mengorbankan keinginan mereka, keluarga mereka, dan jemputan-jemputan yang dihulurkan kepada mereka, demi “menghidupkan” surau kariah mereka. Mereka inilah yang mempamerkan jiwa besar sepanjang Ramadhan, setelah sanggup menolak ke tepi semua keinginan hati mereka, baik keinginan berbuka puasa di luar, atau berbuka puasa di kampung, menolak keinginan untuk tenggelam di dalam kekusyukan bacaan indah imam masjid-masjid luar, menolak keperluan memperbaiki hafazan dengan menyemak bacaan sang imam tahfiz di luar, demi memikirkan keperluan umat, keperluan masyarakat setempat, keperluan jiran-jiran, yang belum pasti kunjung tiba mereka. Dan kebiasaannya, mereka ini tidak bersuara, sehingga orang-orang di luar sana tidak menyedari pengorbanan mereka.

“(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya karena memelihara diri dari minta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. “
(Surah al-Baqarah [2]:273)

Saudaraku,
Merendahlah. Buangkanlah sikap terlalu “eksklusif” dengan hanya mahu menjadi imam solat, atau pengerusi surau, atau penceramah di depan, lalu mengabaikan kerja-kerja remeh tetapi penting –yang menentukan halatuju aktiviti-aktiviti surau- yang dijayakan oleh tok siak surau. Biarlah ianya tidak se”glamer” mana, biarlah ianya kelihatan kerdil pada kita, biarlah ianya seakan tidak membantu dakwah anda, tetapi ketahuilah ianya sangat mulia. Korbankanlah sedikit masa rehat mu, atau masa membaca Quranmu, untuk engkau gunakan bagi datang awal ke surau, mengemas surau, membentang tikar di luar sana, membentang sejadah menurut safnya, memasang kipas, dan sebagainya, dan kemudiannya berkorbanlah sekali lagi dengan melewatkan pulangmu demi melayani segala “modal bercakap” masyarakatmu, sebelum kemudiannya dikau mengemas kembali segala barangan tadi, dan membasuh pinggan-mangkuk yang digunakan ketika moreh di surau mu. Yakinlah, kemuliaan itu bukannya ketika berada “di depan” (jadi imam, penceramah dan sebagainya), tetapi kemuliaan itu ialah tatkala kita dimuliakan oleh ALLAH, dan kita akan tetap menjadi “someone” biarpun kita “di belakang”, jika memang ALLAH sudah mengizinkan.

“Sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam..”
(Surah al-Isra’ [17]:70)

Ramadhan adalah masa di mana ramai orang –jika tidak semua- ingin kembali kepada kebaikan. Kerana semenangnya kebaikan itu “fitrah”, dan madrasah Ramadhan sememangnya membantu usaha tajdidul fitrah (perbaikan fitrah) ini, hingga begitu tamatnya Ramadhan kita berhak merayakan kejayaan pulangnya insan kepada fitrahnya. Ianya merupakan detik di mana surau-surau kembali dipenuhi, kembali diimarahkan. Waktu di mana program-program atau aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan, kembali mendapat sambutan. Masa di mana sensitivity untuk beribadah senantiasa membasahkan. Maka, tidak bolehkah engkau berkorban sedikit, demi menginfakkan dirimu untuk umat, sempena datangnya bulan Ramadhan yang mulia ini? Tidak bolehkah engkau berperanan dalam menjayakan semua tugas-tugas mulia ini, berbanding hanya berharap “menguasai” atau “memimpini” kariah surau dan masyarakat setempat anda?

Maafkan saya wahai para jiran. Izinkan saya selfish cuma untuk satu malam ini, demi menghilangkan rindu di hati, untuk tenggelam dalam kekhusyukan ibadah kepada Tuhanku, agar lebih bererti tarbiyah ramadhanku kali ini.

About faridul

Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

6 Responses to 28 Ramadhan

  1. Hussaini says:

    Salam,

    Teringat kisah seorang akh yang menjaga pintu. Menjadi sekarang penjaga pintu, walaupun dia adalah seorang syeikh.

    Juga yang menjadi pemandu untuk membawa pemimpin-pemimpin dakwah.

    Ikhwah kita diajar untuk tidak malu menjadi pencacai… Tapi masa meletakkan hati kita jauh di atas, memandang langit yang luas… Sehinggakan, tidak sedikit orang yang tidak sudak sudi melihat tanah di bumi lagi.

    Sedangkan, ia juga berasal dari tanah itu…

    Menjadi pemimpin, atau pembimbing?
    Menjadi diktator, atau ketua?

    Wallahua’lam

  2. abe am says:

    ramai yang singgah di blog ni…
    cuma sekadar baca dan tak komen aper2… ^^
    salah satunya ialah saya sendiri…

  3. Bunga Rampai says:

    Salam,

    Terima kasih tulisan ini yang membuat hati saya menangis.

    Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

  4. Jai says:

    Alhamdulillah…adanya orang macam tuan…moga makin bertambah..
    Salam Aidilfitri..
    Jai

  5. faridul says:

    Jazakumullah khairan buat akh Hussaini, Abe Am, Bunga Rampai, Shazwan dan Abang Jai (QHSE).

    Artikel ini ditulis sebagai refleksi terhadap kata-kata para akh dalam bengkel-bengkel daurah. Al-akh sekian mengatakan “kita harus menguasai surau!”, al-akh ini “kita harus memimpin masyarakat!”, al-akh itu “kita harus menjadi tokoh/ dikenali orang!”. Tetapi, mereka bisa pergi ke mana sahaja sepanjang Ramadhan -biar pun atas urusan yang baik- sedang para tok siak-tok siak terpaksa mengorbankan keinginan sebegini, demi memenuhi tuntutan tanggung jawab masyarakat.

    Kita ingin dakwah dikenali. Kita ingin dakwah memimpin. Kita ingin surau-surau menjadi “kepunyaan kita”, tetapi, kita tidak merasa “tanggung jawab” untuk menghidupkannya.

    Jujur, saya malu menulis entry ini. Bahkan, banyak kali rasa mahu memadamkan entry-entry sebegini. Tetapi, memandangkan ianya bukan kisah saya seorang, tetapi para “unsong heroes” surau-surau seluruh Malaya, maka saya tebalkan muka, moga para aktivis dakwah sedar hal ini dan dapat membantu para tok siak-tok siak untuk menghidupkan surau, biar berapa pun ahli kariah yang datang ke surau. Jangan sampai hanya ada tok siak seorang yang bersolat di surau, kerana yang lain-lain pulang ke kampung, atau solat di masjid-masjid yang best, dan sebagainya. Setidak-tidaknya, biarlah berdua dengan kita menemani dan memberikan pahala solat jemaah kepadanya.

    Salam Aidilfitri semua, juga buat para “silent readers” blog ini (jika ada).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s