[arkib]: Solat di Kota Damansara (2005)

(artikel lama untuk siaran semula. Pemahaman saya terhadap slogan “dakwah harus menguasai surau” yang dilaungkan oleh para aktivis dakwah, bukanlah dengan menjadi pengerusi surau, atau penceramah surau dan sewaktu dengannya, tetapi pemahaman saya dengan misi itu, ialah dengan berperanan seperti “abang siak” dalam kisah di bawah. Selamat “berkembara iman”!)

[kembara iman]: Solat di Kota Damansara

 

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum warahmatuLLAH…

Ada sesuatu yang menarik yang harus saya ceritakan disini, iaitu pengalaman yang saya tempohi kelmarin hari.

Saya sampai awal di Kota Damansara, sekitar jam 6 petang (sebab takut sesat) untuk bersolat Maghrib dan Isyak di sana. Kelihatan seorang abang, sekitar 39 umurnya -bahkan memang 39 pun umurnya (sebab saya kemudiannya bertanya)- sedang asyik membersihkan dan menyapu sekitar surau. Saya duduk di surau sebentar untuk minum air kotak yang saya bawa, sebelum kemudiannya mengatur agenda singkat di dalam kepala –pusing-pusing tengok tempat, tidur, mengaji al-Quran, langsung solat Maghrib. Tiba-tiba, abang tersebut menyapa saya, memecahkan kesunyian suasana (actually tak sunyi pun sebab di flat sebelah ada sekumpulan pemuda sedang main street soccer).
“Ada orang surung awak beli kereta,” kata abang tersebut, “awak (istilah untuk “saya” bagi orang Peghok(perak..) tahu awak tak mampu. Buat apa nak ikut cakap orang?” Kelihatan wajah abang tersebut (yang dahsyat tak dahsyatnya akhlak saya, sampai-sampai sepanjang bersembang, saya tak sempat tanpa pun namanya apa. Mudah-mudahan ALLAH ampunkan kesilapan saya itu) tenang, tiada kekusutan, tiada kekhuatiran. Ternyata, permasalah ‘kereta’ tidak pernah mengganggu dan mengusutkan pemikirannya. “Awak gaji Cuma dalam seribu, nak nganto (hantar) anak sekolah lagi, nak bayar sewa ghumah (rumah) lagi….. kalau beli kereta, habis situ sajalah” sambung abang itu penuh yakin. Tiada tanda-tanda merintih simpati daripadanya. Bahkan, yang terpampang pada wajah ‘keanak-anakan’ abang itu –sungguhpun umurnya dah tak layak nak panggil pemuda- ialah sebuah raut wajah orang yakin merasa cukup dengan apa yang ada. Terkadang, saya pun tak faham, kenapa abang itu begitu ‘mempercayai’ saya dalam beliau bercerita? Mungkin, barangkali, orang-orang yang sememangnya rajin ke surau adalah orang-orang yang memang wajar dipercayai.
Selesai solat Maghrib, ketika jemaah lain semua pulang ke rumah, saya menyertai abang itu, bersembang dengannya sekali lagi. “orang sini, kita kutip derma RM1 sebulan pun, macam-macam alasan dema. Bukannya banyak, seringgit sebulan aje…” jelas abang tersebut ketika menerangkan mengapa surau itu tidak meriah dengan kuliah-kuliah mahupun ceramah-ceramah. Dana surau itu kecil, menurutnya. Sedang ustaz-ustaz zaman sekarang, kalau tak berbayar, takdenya dema (istilah untuk mereka dalam loghat orang Perak) nak datang.Lebih malang lagi, ahli kariah tersebut, seperti juga ahli kariah di tempat-tempat lain, untuk menderma RM1 sebulan pun, terasa suatu hal yang sungguh berat. Tapi kalau bab berbelanja hal-hal yang tak wajar, duitnya sentiasa ada. Terkadang, saya pun heran, kenapa jika kutipan untuk program-program larian misalnya, atau kutipan dengan diiringi konsert misalnya, mayarakat bersedia untuk menyumbang, tetapi kalau sekadar RM1 untuk sumbangan surau, yang tentunya amal jariah pada masjid/surau merupakan saham kita bahkan setelah meninggal kelak, terasa amat berat sekali untuk kita keluarkan.
Saya kagum dengan abang itu. Dalam kesederhanaannya menampung keluarga beranak lima, dengan cukup sekadar motorsikal sahaja, tetapi tetap saja masanya tercurah untuk menabur amal kepada bangsa. Pelik, terkadang insan bergaji besar sekalipun, sentiasa ‘berkira’ dalam kerja-kerja ‘over-time’ sebegini. Pelik, terkadang ustaz-ustaz pun, yang membela agama sememangnya menjadi tanggung jawab utama mereka, sentiasa menitik beratkan bayaran di dalam segenap gerak tari mereka. Bahkan lebih pelik, seorang pembantu am beranak lima seperti abang ini, sungguhpun jika dinilai dari perspektif duniawi tak berpunya, tetapi tetap saja tertumpah semangat sukarela, sehingga pantas menjadi tok siak, membersih dan menjaga surau tersebut, hatta soal tandas sekalipun, biarpun tanpa elaun apa pun. Dan lebih pelik, abang yang tidak mampu berkereta seperti ini, tetap rela bahkan teguh ke sana ke mari meminta sumbangan untuk menghidupkan surau tersebut, biarpun sekadar seringgit, tetapi mereka yang mempunyai kereta sampai dua-tiga, tetapi keberatan untuk sekadar menyumbang walau Cuma RM1 kepada kebajikan agama dan ummah.
Saya bersyukur kepada Tuhan, kerana ALLAH dengan sifat ar-Rahim-Nya telah mengurniakan suatu sifat “berjalan mencari surau-surau” kepada saya setiap kali fikiran mual menjadi kusut. Entah kenapa, saya seronok tiap kali terjumpa foreigner-foreigner di surau-surau, atau terlihat pakcik tua tak berpunya (dari penampilan maksud saya kelihatan bukan orang kaya) tetapi setia membersihkan dan berkhidmat kepada rumah-rumah Tuhan-Nya. Dab barangkali, pertemuan saya dengan abang tersebut, justeru sebuah tazkirah kepada saya. Supaya dalam kesusahan kita, masih ada yang lebih susah, tetapi tetap bahagia bilamana dapat membahagiakan orang lain.
Dalam perjalanan pulang ke rumah malam itu, yang memakan masa sejam jaraknya, bahkan lebih lewat lagi lantaran hujan lebat malam itu, mata saya turut dihujani air. Saya terkenang rumah-rumah di Grik. Betapa rumah-rumah itu tak layak dipanggil rumah, kelihatan seperti pondok menunggu dusun berbuah. Dindingnya sekadar plastik beras dan poster-poster, sehingga saya pun langsung tak percaya bila dimaklumkan bahawa itu adalah rumah penduduk. Tetapi, demi melihat anak-anak kecil berbogel berlari sekiar ‘rumah’ tersebut, hati saya menjadi begitu hiba. Rupanya terlampau ramai orang yang jauh lebih dhaif berbanding kita. Itulah sebabnya, tiap kali makan makanan mewah, di hotel misalnya, hati saya sentiasa meronta-ronta, bahkan memplay-backkan suasana tersebut. Betapa zalimnya kita pada mereka. Kita makan makanan yang mewah, sedang anak-anak mereka entah apa saja makanannya.
Saya bersyukur di atas tazkirah Tuhan itu. Mudah-mudahan, di dalam kembaran saya akan datang, akan lebih banyak “tazkirah-tazkirah” dunia akan saya perolehi. Betapa orang susah saja ada sumbangan kepada masyarakat, bagaimana dengan kita, apa saja sumbangan kita buat mereka? Nyatalah, wang bukanlah segalanya. Kerana bila kehidupan telah memperoleh barakaah, maka segala kemewahan dunia tiada lagi nilainya pada kita. Sebaliknya, bila hidup ini terorientasi dunia, segala kekayaan dunia pun tak pernah mencukupi buat kita.

Kalau kiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan bukakan barakaah daripada langit. Namun mereka mendustakan ayat-ayat Kami, lantas Kami balas mereka lantaran apa yang mereka lakukan/ usahakan”
(Surah al-A’raf [7]:96)*

* Ayat al-Quran ini adalah terjemahan bebas (terjemahan sendiri) oleh penulis, berdasarkan pengetahuan Arabnya yang cetek. Andainya maksudnya silap atau bahkan lari, sila dibetulkan secepat yang mungkin.

* artikel ini disebar emailkan pada 24 Mac 2005.

About faridul

Engineer di siang hari, murabbi di malam hari, da'ie sepanjang hari
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

One Response to [arkib]: Solat di Kota Damansara (2005)

  1. abe am says:

    alhamdulillah…
    semoga entri kali ini dapat dihadam untuk mejana fikir dalam diri kita semua…
    mungkin kita masih belum cukup faham kenapa kita wujud di atas dunia ini…
    atau mungkin kita masih lagi belum cukup ikhlas utk berkorban…
    sehinggakan semua benda inginkan ada keuntungan matawang dunia berbanding dinar emas untuk di alam seterusnya…
    ^^

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s