Iron Man

Artikel menarik daripada ustaz Mohd Shahman Md. Azmi, senior consultant Futuwwah Enterprise, seperti yang tersiar di web www.futuwwah.com.

 

 

 

Barangkali, apabila kita sebut tentang logam, ramai yang akan terbayang logam-logam mewah seperti emas, titanium (?), uranium (?) dan sebagainya. Bahkan mugkin tidak keterlaluan jika dikatakan kita amat ingin memiliki logam-logam mewah seperti ini. Masakan tidak! Memiliki barangan yang diperbuat daripada logam mewah seperti ini beerti memiliki kekayaan!. Mugkin ramai yang terlupa atau sengaja “buat-buat lupa” akan logam-logam yang lain. Logam-logam seperti kuprum, nikel, aluminium mungkin bukan menjadi “pujaan hati” kita jika disuruh untuk memilihnya antara emas. Kalau adapun yang memilih logam-logam seperti ini, mungkin hanya pengutip besi buruk, barangkali!

 

Cuba kita berfikir sejenak, ada apa pada logam? Tentu banyak bukan? Boleh dikatakan kebanyakkan barang diperbuat daripada logam (atau kalaupun tak semua, sebahagiannya!). Dari pedang Samurai ke keris Hang Tuah, dari gelang emas Mami Jarum ke rantai beruang panda, dari skru motosikal Nitro ke duit syilling, semuanya dari logam. Justeru kita tidak dapat tidak mengakui logam antara barang terpenting dalam kehidupan. Persis seperti mana yang Allah firmankan dalam Al-Quran:

“…Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (Al-Hadid: 25)

Mari cuba kita fikirkan pula ada berapa jenis logam? Banyak bukan? Dari yang hitam melegam, merah menyala, putih melepak, kelabu asap, kuning taik gigi hinggalah ke warna yang tak tahu kita nak sebut!. Ada yang namanya emas, perak, tembaga, zink dan segala macam lagi. Dan tiap-tiap jenis logam, ada sifat masing-masing yang menbezakan antara satu logam dengan logam yang lain. Juga setiap logam ada kegunaan yang bertepatan dengan ciri dan sifat masing-masing. Bak kata Encik Astro “macam-macam ada!”

Nah, sekarang mari kita fikirkan tentang sifat-sifat logam pula. Antaranya mudah dibentuk, kuat, tahan, dan sebagainya. Pendek kata, logam memang cukup banyak manfaat buat manusia. Justeru, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi ada megumpamakan manusia itu ibarat logam:

“Manusia itu ibarat logam. Baiknya dia ketika di jahiliyyah baiknya juga dia ketika di Islam. Sekiranya dia faham.” (Bukhari & Muslim)

Jadi, mari kita bandingkan sebahagian sifat yang ada pada logam untuk diambil pengajaran. Seperti yang kita maklum logam mudah dibentuk. Makanya, sifat seorang manusia itu (apatah lagi orang mukmin!) seharusnya juga begitu. Mudah dibentuk. Jika elok acuannya maka elok jugalah produk yang dihasilkan. Jika sumbing acuannya, maka sumbing jugalah hasilnya. Sejarah telah melakarkan bagaimana generasi para sahabat “dibentuk” oleh acuan yang benar sehingga berjaya menjadi “khoiru ummah” (3:110). “Tempaan” keatas “logam” yang bernama Ummar cukup menjadi bukti bahawa kebenaran dan kemuliaan Islam. Masakan tidak, ketika di zaman jahiliyyah, beliau cukup terkenal dengan sikap “gedebe” nya mempertahankan agama nenek moyang musyrikin Mekah. Nah, lantaran di “dibentuk” oleh acuan yang betul, beliau berubah menjadi seorang yang cukup lantang dalam memperjuangkan Islam. Lihat saja bagaimana acuan Islam berjaya menghasilkan “logam-logam” emas pada masa pemerintahan Abassiyyah! Sebutkan saja Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi dan lain-lain. Bukankah “logam-logam” ini hasil “tempaan” Islam?

Juga kalau dilihat, logam adalah antara bahan binaan yang terkuat dan tahan lasak. Jadi, sifat seorang manusia itu seharusnya kuat umpama logam. Tidak “lembik”, “lemah”, “pengecut” dan yang sewaktu dengannya. Jika sifat logam yang kuat dan mudah dibentuk itu menjadikan ia diguna untuk menghasilkan pelbagai jenis barangan yang “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, makanya, sudah barangkali tentu kita terlebih lagi harus mencontohi sifat sang logam itu! Seharusnya kita tidak “lemah”, “takut” “lembik” ketika mana menghadapi cubaan dan rintangan. Bukankah tercatat dalam sejarah sekian banyak pejuang-pejunag Islam yang bermati-matian mempertahan Islam.

Seperti yang sedia kita maklum, ada pelbagai jenis logam seperti yang disebutkan tadi. Mugkin kebanyakkan antara kita lebih memuja “emas” (King Midas?) berbanding logam lain. Amat sedikit (barangkali tiada) yang memuja “kuprum” apatah lagi “zink” atau logam-logam yang tidak se “glamour” emas dan logam-logam yang namanya pun kita jarang-jarang dengar, entahkan wujud atau tidak!. Nah, cuba kita lihat kembali kepada hadis Rasulullah di atas. Dalam hadis tersebut, baginda menyebut hanya “logam”. Nama yang umum untuk segala macam jenis logam yang ada di muka bumi ini. Makanya, mugkin antara ibrah yang dapat kita perhatikan, adalah tidak kira manusia itu dari jenis “logam” apa sekali pun (miskin, kaya, hitam, putih, gemuk, kurus, jurutera, doctor, cleaner, konduktor bas dsb) masing-masing ada peranan yang dapat dimainkan. Mana mungkin semua benda/barang harus diperbuat daripada logam “emas” semata. Jika begitu, barangkali, penyamun-penyamun sudah jadi kaya raya!. Iya, Kuprum mugkin bukan pilihan utama kita! namun, tanpa kuprum, sudah tentu segala barang eletrik & elektronik tidak dapat berfungsi!. Makanya, setiap orang ada posisi yang sesuai untuk diri masing-masing. Jika sang “emas” banyak harta menimbun, maka tangunngjawabnya besar untuk membantu umat Islam dari segi ekonomi. Jika sang “besi’” punya badan yang sihat dan kuat, maka posisinya mungkin di medan peperangan. Bukankah Rasullah sendiri menempatkan para sahabat sesuai dengan keadaan mereka?

Tapi, di penghujung hadis tersebut, Rasulullah ada mengatakan “sekiranya dia faham”. Nah, disini letaknya “kunci” keseluruhan hadis tersebut. Segala-galanya berkait rapat dengan “kefahaman”. Mana mungkin seseorang yang “hebat” di zaman jahiliyyahnya dan kemudian “hebat” setelah mendapat hidayah atas dasar suka-suka tanpa kefahaman. Mustahil! Ibarat seorang yang tak faham soalan periksa tapi dapat score A+. Mungkin pemeriksa tersalah tanda, atau barangkali pemeriksa yang tidak faham sebenarnya!.

Ummat sedang ternanti-nanti kehadiran sang “logam” yang bakal membina semula kegemilangan tamadun Islam. Maka, siapa yang sanggup menjadi “Ironman” seterusnya?

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Samba Brazil

Di dalam dunia bola sepak, mind set yang dipunya oleh pengurus pasukan serta barisan pemainnya, agak berbeza dengan peminat dan penyokong yang menonton sesebuah perlawanan bola sepak. Kita, barisan penyokong, menghargai sebuah persembahan menarik daripada pasukan yang kita sokong. Kita sering mem”boo” pasukan sendiri begitu mereka bermain buruk, atau mengkritik dan menghina pemain-pemain yang tidak cemerlang, dek kerana kita lebih tertarik dengan permainan ala Cristiano Ronaldo, atau Ronaldinho, atau Rivaldo, atau Robinho, tetapi, yang dipamerkan di atas padang justeru sebuah aksi yang membuat kita rasa nak tertido.

Berbeza dengan pengurus pasukan. Yang paling penting pada dia, ialah keputusan perlawanan. Biar betapa hambar pasukannya bermain, biar seberapa buruk atau gol “nasib baik” yang berjaya dijaring, biar betapa lambat gol kemenangan diperoleh, asal ia pulang dengan sebuah kemenangan, itu sudah cukup memberikan senyuman tanda keriangan. Ertinya, yang penting pada kaca mata pasukan adalah ahdaf yakni tujuan perlawanan, iaitu memperoleh kemenangan, bukan mempamerkan permainan menghiburkan. Biarlah strategi “samba” hancur menjadi “sambal”, asal kemenangan yang dikau peroleh, itulah yang paling penting di akhir perlawanan.

Sebegitulah juga dengan harakah islamiyah.  Tarbiyah, tatkala kita kembalikan kepada ahdaf (tujuan)nya yang asasi, ialah agar terbentuknya kader dek sebuah orientasi pembinaan (takwin). Atau, dalam istilah lainnya, harakah islamiyah yang berteraskan tarbiyah, sifatnya senantiasa takwin centric, iaitu menitik beratkan kualiti dalam aktiviti-aktiviti yang ia jalankan. Ia mungkin membuat program umum yang, dalam istilahnya Hassan al-Banna, berada pada marhalah ta’rif. Tetapi, program umum itu tetap bersifat amaliyatut tajnid, iaitu terorientasi kepada pembinaan dan pembentukan kader. Hingga, biar pun program-program yang ia jalankan mungkin tidak gempak, tidak glamer, dan tidak kelihatan gah pada zahirnya, tetapi keputusan akhir yang ia peroleh, iaitu penambahan kader yang sama-sama dapat menggerakkan dakwah, itulah yang memenuhi tujuan asal ia turun ke medan juang.

Malangnya, ramai aktivis dakwah dewasa ini, lupa bahawa mereka adalah “pemain” dalam perlawanan ini, lalu bersikap seperti lagaknya seorang “penonton”. Yang mereka titipkan dalam perjuangan, lebih kepada permainan “menghiburkan”. Lalu disusunlah oleh mereka senarai program yang, bila dituliskan di atas kertas, kelihatannya segak dan menggemparkan, sedang hasil akhir (end result) yang bisa diraih, tidak menyumbang kepada peningkatan kualiti seperti yang diharapkan.

Apa guna permainan samba ala Brazil, jika piala dunia menjadi milik pasukan Sepanyol?. Apa guna barisan bintang yang dipunya oleh Manchester City, andai Liga tetap dimenangi oleh pasukan Chelsea? Apa guna nama segah Liverpool, andai tewas memalukan di tangan pasukan divisyen 2 seperti Northampton.

Marilah kita kembali kepada akar permasalahan. Iaitu aktivisma tarbiyah berdasarkan ahdaf (tujuan), bukan aktiviti tarbiyah berdasarkan kemegahan. Mungkin lewat hasil yang dinantikan, tetapi kemanangan tetap mucul seperti yang dijanjikan. Syaratnya satu: sabar! Maka sabaralah kamu seperti sabarnya pasukan Manchester United tahun 1999, yang berkat kesabaran itu, beroleh kemenangan hasil gol pada masa tambahan. Iya, kemenangan terhasil, di masa tambahan!

Posted in Uncategorized | 2 Komen

WIRELESS

“Ketika berdoa,” kata Umar al-Khattab, moga-moga ALLAH senantiasa meredhai dirinya, “aku tidak memiliki obsesi agar doa itu terkabul. Obsesiku hanyalah keinginan untuk mengucapkan doa.”

 

 

Sungguh dalam perkataan Khalifah ar-Rasyidin kedua ini. Dalam berdoa, sungguh pun banyak orang melihat betapa berdoa itu adalah permintaan, tetapi kepuasaan seorang Umar justeru bukan kepada ter”makbul”nya doanya itu, tetapi justeru terhadap “pengucapan” doa itu. Hal ini hanya bisa difahami, oleh orang-orang yang melihat betapa doa -bersama-sama ibadah solat- adalah interaksi langsung manusia dengan ALLAH Ta’ala. Jika sebahagian orang memerlukan orang lain –para alim ulamaknya- untuk berbicara, memohon ampun mahupun menyampaikan hajat kepada Tuhannya, kita umat Islam, diberikan kesempatan untuk berbicara langsung dengan ALLAH Ta’ala, tanpa perantara sesiapa pun. “Wireless”. Caranya? Itu, melalui solat dan doa tadi.

 

 

Seperti orang yang sedang kemaruk cinta. Romeo cukup mendengar suaranya Juliet. Zainuddin cukup dapat berbicara dengan Hayati (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck). Beckham cukup dapat berkomunikasi dengan Posh Spice. Kerinduan itu, justeru pada bicaranya, bukan pada contentnya. Wajar, perbualan para pemuda cinta di luar sana, biarpun sering memakan masa yang lama, tetapi isinya seakan tiada nilainya. “Awak makan apa hari ini?” “Berapa bi ji beras awak makan tadi?” “Beras cap gapo deh demo makan?” “I rasa beras yang you makan tu sesuai dengan wajah you la” dan lain-lain perbualan lagha yang sewaktu dengannya itulah, yang memenuhi dialog perbualan panjang lebar mereka.

Barangkali inilah rahsia kebahagian hidup. Tatkala hidup ini sudah mencukupi, tatkala terbinanya hubungan dengan Dia, Ilahi Rabbi. Kerana tatkala ALLAH sudah bersama dengan kita, apa ada dengan dunia dan perhiasannya? Hinggakan permasalahan-permasalahan dan persoalan-persoalan bersifat duniawi, semuanya kelihatan kerdil di mata kita, lantaran persoalan-persoalan dan permasalahan-permasalahan Akhirat, sudah mendominasi syu’ur (perasaan) dan pemikiran kita. Wajar, baginda Nabi SAW di dalam hadith yang diriwayatkan oleh  Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri mengajarkan kita sepotong doa;

“Allahumma inni auzubika minal hammi wal hazan…”

 

“Ya ALLAH, aku berlindung pada-Mu dari rasa keluh-kesah dan dukacita…”

 

Kerana itu, tepat sekali pesannya Tuan Guru Nik Aziz, betapa setiap manusia akan diuji. Diuji dari “bidang” yang ia geluti. Maka wajar, musykilahnya para nabi dan pejuang Islam sejati, adalah musykilah-musykilah yang berkaitan dengan dakwah. Yang berkenaan dengan umat. Yang menyangkut bab agama. Bukan kerana kehidupan peribadi mereka tidak pernah teruji, tetapi hati mereka sudah tertaut pada perjuangan nan suci, lalu apalah nilainya permasalahan duniawi, untuk mereka keluh-kesahkan berbanding persoalan perjuangan membela agama Ilahi Rabbi.

Lalu –bak kata Umar- yang berharga di dalam doamu itu adalah doa itu sendiri. Bukan permintaannya. Bukan kepada makbulnya. Tetapi kerinduan dan kecintaan mu berbicara dengan Ilahi Rabbi. Melepas “angau”, pada Rabbul Izati.

Nah, tidak perlu kabel, tidak perlu hardwire, langsung berhubung secara wireless. “ON” kan saja “wifi” dan “Bluetooth”, iaitu solat dan doa, dan berbicaralah sepuas-puasnya dengan DIA. Mengadulah sepuas-puasnga kepada DIA. Lepaskanlah rindumu sepuas-puasnya terhadap DIA. Bukan kena bayar pon…..

Posted in Uncategorized | 3 Komen

[arkib]: Solat di Kota Damansara (2005)

(artikel lama untuk siaran semula. Pemahaman saya terhadap slogan “dakwah harus menguasai surau” yang dilaungkan oleh para aktivis dakwah, bukanlah dengan menjadi pengerusi surau, atau penceramah surau dan sewaktu dengannya, tetapi pemahaman saya dengan misi itu, ialah dengan berperanan seperti “abang siak” dalam kisah di bawah. Selamat “berkembara iman”!)

[kembara iman]: Solat di Kota Damansara

 

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum warahmatuLLAH…

Ada sesuatu yang menarik yang harus saya ceritakan disini, iaitu pengalaman yang saya tempohi kelmarin hari.

Saya sampai awal di Kota Damansara, sekitar jam 6 petang (sebab takut sesat) untuk bersolat Maghrib dan Isyak di sana. Kelihatan seorang abang, sekitar 39 umurnya -bahkan memang 39 pun umurnya (sebab saya kemudiannya bertanya)- sedang asyik membersihkan dan menyapu sekitar surau. Saya duduk di surau sebentar untuk minum air kotak yang saya bawa, sebelum kemudiannya mengatur agenda singkat di dalam kepala –pusing-pusing tengok tempat, tidur, mengaji al-Quran, langsung solat Maghrib. Tiba-tiba, abang tersebut menyapa saya, memecahkan kesunyian suasana (actually tak sunyi pun sebab di flat sebelah ada sekumpulan pemuda sedang main street soccer).
“Ada orang surung awak beli kereta,” kata abang tersebut, “awak (istilah untuk “saya” bagi orang Peghok(perak..) tahu awak tak mampu. Buat apa nak ikut cakap orang?” Kelihatan wajah abang tersebut (yang dahsyat tak dahsyatnya akhlak saya, sampai-sampai sepanjang bersembang, saya tak sempat tanpa pun namanya apa. Mudah-mudahan ALLAH ampunkan kesilapan saya itu) tenang, tiada kekusutan, tiada kekhuatiran. Ternyata, permasalah ‘kereta’ tidak pernah mengganggu dan mengusutkan pemikirannya. “Awak gaji Cuma dalam seribu, nak nganto (hantar) anak sekolah lagi, nak bayar sewa ghumah (rumah) lagi….. kalau beli kereta, habis situ sajalah” sambung abang itu penuh yakin. Tiada tanda-tanda merintih simpati daripadanya. Bahkan, yang terpampang pada wajah ‘keanak-anakan’ abang itu –sungguhpun umurnya dah tak layak nak panggil pemuda- ialah sebuah raut wajah orang yakin merasa cukup dengan apa yang ada. Terkadang, saya pun tak faham, kenapa abang itu begitu ‘mempercayai’ saya dalam beliau bercerita? Mungkin, barangkali, orang-orang yang sememangnya rajin ke surau adalah orang-orang yang memang wajar dipercayai.
Selesai solat Maghrib, ketika jemaah lain semua pulang ke rumah, saya menyertai abang itu, bersembang dengannya sekali lagi. “orang sini, kita kutip derma RM1 sebulan pun, macam-macam alasan dema. Bukannya banyak, seringgit sebulan aje…” jelas abang tersebut ketika menerangkan mengapa surau itu tidak meriah dengan kuliah-kuliah mahupun ceramah-ceramah. Dana surau itu kecil, menurutnya. Sedang ustaz-ustaz zaman sekarang, kalau tak berbayar, takdenya dema (istilah untuk mereka dalam loghat orang Perak) nak datang.Lebih malang lagi, ahli kariah tersebut, seperti juga ahli kariah di tempat-tempat lain, untuk menderma RM1 sebulan pun, terasa suatu hal yang sungguh berat. Tapi kalau bab berbelanja hal-hal yang tak wajar, duitnya sentiasa ada. Terkadang, saya pun heran, kenapa jika kutipan untuk program-program larian misalnya, atau kutipan dengan diiringi konsert misalnya, mayarakat bersedia untuk menyumbang, tetapi kalau sekadar RM1 untuk sumbangan surau, yang tentunya amal jariah pada masjid/surau merupakan saham kita bahkan setelah meninggal kelak, terasa amat berat sekali untuk kita keluarkan.
Saya kagum dengan abang itu. Dalam kesederhanaannya menampung keluarga beranak lima, dengan cukup sekadar motorsikal sahaja, tetapi tetap saja masanya tercurah untuk menabur amal kepada bangsa. Pelik, terkadang insan bergaji besar sekalipun, sentiasa ‘berkira’ dalam kerja-kerja ‘over-time’ sebegini. Pelik, terkadang ustaz-ustaz pun, yang membela agama sememangnya menjadi tanggung jawab utama mereka, sentiasa menitik beratkan bayaran di dalam segenap gerak tari mereka. Bahkan lebih pelik, seorang pembantu am beranak lima seperti abang ini, sungguhpun jika dinilai dari perspektif duniawi tak berpunya, tetapi tetap saja tertumpah semangat sukarela, sehingga pantas menjadi tok siak, membersih dan menjaga surau tersebut, hatta soal tandas sekalipun, biarpun tanpa elaun apa pun. Dan lebih pelik, abang yang tidak mampu berkereta seperti ini, tetap rela bahkan teguh ke sana ke mari meminta sumbangan untuk menghidupkan surau tersebut, biarpun sekadar seringgit, tetapi mereka yang mempunyai kereta sampai dua-tiga, tetapi keberatan untuk sekadar menyumbang walau Cuma RM1 kepada kebajikan agama dan ummah.
Saya bersyukur kepada Tuhan, kerana ALLAH dengan sifat ar-Rahim-Nya telah mengurniakan suatu sifat “berjalan mencari surau-surau” kepada saya setiap kali fikiran mual menjadi kusut. Entah kenapa, saya seronok tiap kali terjumpa foreigner-foreigner di surau-surau, atau terlihat pakcik tua tak berpunya (dari penampilan maksud saya kelihatan bukan orang kaya) tetapi setia membersihkan dan berkhidmat kepada rumah-rumah Tuhan-Nya. Dab barangkali, pertemuan saya dengan abang tersebut, justeru sebuah tazkirah kepada saya. Supaya dalam kesusahan kita, masih ada yang lebih susah, tetapi tetap bahagia bilamana dapat membahagiakan orang lain.
Dalam perjalanan pulang ke rumah malam itu, yang memakan masa sejam jaraknya, bahkan lebih lewat lagi lantaran hujan lebat malam itu, mata saya turut dihujani air. Saya terkenang rumah-rumah di Grik. Betapa rumah-rumah itu tak layak dipanggil rumah, kelihatan seperti pondok menunggu dusun berbuah. Dindingnya sekadar plastik beras dan poster-poster, sehingga saya pun langsung tak percaya bila dimaklumkan bahawa itu adalah rumah penduduk. Tetapi, demi melihat anak-anak kecil berbogel berlari sekiar ‘rumah’ tersebut, hati saya menjadi begitu hiba. Rupanya terlampau ramai orang yang jauh lebih dhaif berbanding kita. Itulah sebabnya, tiap kali makan makanan mewah, di hotel misalnya, hati saya sentiasa meronta-ronta, bahkan memplay-backkan suasana tersebut. Betapa zalimnya kita pada mereka. Kita makan makanan yang mewah, sedang anak-anak mereka entah apa saja makanannya.
Saya bersyukur di atas tazkirah Tuhan itu. Mudah-mudahan, di dalam kembaran saya akan datang, akan lebih banyak “tazkirah-tazkirah” dunia akan saya perolehi. Betapa orang susah saja ada sumbangan kepada masyarakat, bagaimana dengan kita, apa saja sumbangan kita buat mereka? Nyatalah, wang bukanlah segalanya. Kerana bila kehidupan telah memperoleh barakaah, maka segala kemewahan dunia tiada lagi nilainya pada kita. Sebaliknya, bila hidup ini terorientasi dunia, segala kekayaan dunia pun tak pernah mencukupi buat kita.

Kalau kiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan bukakan barakaah daripada langit. Namun mereka mendustakan ayat-ayat Kami, lantas Kami balas mereka lantaran apa yang mereka lakukan/ usahakan”
(Surah al-A’raf [7]:96)*

* Ayat al-Quran ini adalah terjemahan bebas (terjemahan sendiri) oleh penulis, berdasarkan pengetahuan Arabnya yang cetek. Andainya maksudnya silap atau bahkan lari, sila dibetulkan secepat yang mungkin.

* artikel ini disebar emailkan pada 24 Mac 2005.
Posted in Uncategorized | 1 Komen

28 Ramadhan

Malam tadi, malam 28 Ramadhan, saya menyelesaikan tugas dan tanggung jawab saya terhadap surau kariah saya untuk Ramadhan tahun ini. Membuka dan mengemas surau, melaungkan azan seraya memanggil jemaah untuk datang bersolat isyak, sambil mengimami solat sunat tarawikh, hajat dan witir sebelum berlangsungnya majlis bermaaf-maafan sesama jiran. Esok, Rabu 29 Ramadhan, saya akan pulang ke kampung saya, menunaikan hak keluarga yang sekian lama terabai, iaitu berbuka puasa bersama-sama keluarga. Sungguh pun berbaki 1 hari lagi saya di sini, saya telah meminta izin daripada jawatankuasa surau untuk solat di luar malam ini. Maafkan saya, untuk kali ini saya pula mahu bersikap selfish, ingin melepaskan rindu bersolat tarawikh di masjid KLIA, memperbaiki hafalan quran saya dengan mendengar lantunan ayat-ayat suci sang imam, yang sungguh menyentuh hati dan menusuk kalbu, menghangatkan kekhusyukan, dan membasahkan diri dengan keimanan.

Ertinya, saya hanya akan sempat berpuasa –insyaALLAH- satu hari sahaja bersama keluarga saya. Menurut hitungan cara klasik datuk saya (Tuan Guru Hj. Salleh) dan pengiraan saintifik cara moden ayah saya (Dr. Abdul Wahab Arbain), hari Khamis merupakan hari Raya Aidilfitri, kerana anak bulan sudah jelas kelihatan sebelumnya. Tidak tahulah pula bagaimana keputusan kaedah teropong pakcik saya (Sahibus Samahah Mufti Selangor), tentu hari Jumaat gamaknya. Inilah indahnya hidup di dalam keluarga yang di kelilingi ramai lulusan bidang agama; kita dapat menceduk rahmat perbezaan pendapat sesama mereka. Yang menjadikan perbezaan itu musibah sebenarnya, ialah tatkala sang ustaz menutup pintu kepada perbincangan sejak dari awal, hingga menimbulkan perseteruan, mencambahkan permusuhan. Dan inilah yang kita sering saksikan terjadi di luar sana.

“Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.”
(Surah Hud [11]:118-119)

Sudah dua kali Ramadhan rutin hidup saya begini: tidak banyak solat tarawikh di “luar” kariah, tidak sempat berziarah dan berpuasa bersama keluarga, semuanya demi melaksanakan tanggung jawab saya sebagai siak surau. Sebagai bilal surau. Sebagai imam surau. Sebahagian orang, mereka boleh datang-tidak datang ke surau sesuka hati mereka, kerana pada mereka, “akan tetap ada orang yang menguruskan” surau nanti. Bayangkan saja jika saya pun bersikap selfish seperti itu. Barangkali tidak akan ada yang sudi menjadi “imam bidan terjun” ketika mana imam bertugas yang telah pun kita susun dan setujui jadualnya, pun tidak datang bertandang untuk mengimami solat tarawikh bersama jiran-jiran. Untuk membantu mengemas dan membuat persiapan surau, jauh sekali. Atau membasuh pinggan-mangkuk selesai moreh, tentunya akan “mencemar duli.”

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan”
(Surah an-Nisa’ [4]:36)

Jujurnya, saya rasa bersalah untuk menceritakan hal ini. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menceritakan bahawa antara sebab beliau lambat menuliskan autobiografi dirinya adalah kerana ianya sama dengan menuliskan dan berbicara tentang diri sendiri. Mau tidak mau, ianya akan terwarnai dengan sikap membaguskan diri sendiri, mengagung-agungkan atau menghiasi diri sendiri di mata pembacanya, selain mendorong orang mengatakan “aku begini dan aku begitu”, sedang kata “aku” yang diungkapkan oleh makhluk, adalah kalimat yang dibenci dan merupakan awal kata buruk yang diucapkan oleh Iblis. Bukankah kisah penolakan, pengingkaran dan kesombongan, semuanya bermuara daripada kalimah ini? “Engkau ciptakan aku daripada api, sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah” (Surah al-A’raf [7]:12)

Tetapi, saya terpaksa mengungkapkan hal ini, agar anda yang membacanya, terutamanya para aktivis dakwah, terutamanya yang merasakan betapa merekalah yang harus memimpin umat, dapat reserve sedikit perasaan, sedikit perikemanusiaan dan sedikit perhatian kepada orang-orang ini. Orang-orang yang terpaksa mengorbankan keinginan mereka, keluarga mereka, dan jemputan-jemputan yang dihulurkan kepada mereka, demi “menghidupkan” surau kariah mereka. Mereka inilah yang mempamerkan jiwa besar sepanjang Ramadhan, setelah sanggup menolak ke tepi semua keinginan hati mereka, baik keinginan berbuka puasa di luar, atau berbuka puasa di kampung, menolak keinginan untuk tenggelam di dalam kekusyukan bacaan indah imam masjid-masjid luar, menolak keperluan memperbaiki hafazan dengan menyemak bacaan sang imam tahfiz di luar, demi memikirkan keperluan umat, keperluan masyarakat setempat, keperluan jiran-jiran, yang belum pasti kunjung tiba mereka. Dan kebiasaannya, mereka ini tidak bersuara, sehingga orang-orang di luar sana tidak menyedari pengorbanan mereka.

“(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya karena memelihara diri dari minta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. “
(Surah al-Baqarah [2]:273)

Saudaraku,
Merendahlah. Buangkanlah sikap terlalu “eksklusif” dengan hanya mahu menjadi imam solat, atau pengerusi surau, atau penceramah di depan, lalu mengabaikan kerja-kerja remeh tetapi penting –yang menentukan halatuju aktiviti-aktiviti surau- yang dijayakan oleh tok siak surau. Biarlah ianya tidak se”glamer” mana, biarlah ianya kelihatan kerdil pada kita, biarlah ianya seakan tidak membantu dakwah anda, tetapi ketahuilah ianya sangat mulia. Korbankanlah sedikit masa rehat mu, atau masa membaca Quranmu, untuk engkau gunakan bagi datang awal ke surau, mengemas surau, membentang tikar di luar sana, membentang sejadah menurut safnya, memasang kipas, dan sebagainya, dan kemudiannya berkorbanlah sekali lagi dengan melewatkan pulangmu demi melayani segala “modal bercakap” masyarakatmu, sebelum kemudiannya dikau mengemas kembali segala barangan tadi, dan membasuh pinggan-mangkuk yang digunakan ketika moreh di surau mu. Yakinlah, kemuliaan itu bukannya ketika berada “di depan” (jadi imam, penceramah dan sebagainya), tetapi kemuliaan itu ialah tatkala kita dimuliakan oleh ALLAH, dan kita akan tetap menjadi “someone” biarpun kita “di belakang”, jika memang ALLAH sudah mengizinkan.

“Sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam..”
(Surah al-Isra’ [17]:70)

Ramadhan adalah masa di mana ramai orang –jika tidak semua- ingin kembali kepada kebaikan. Kerana semenangnya kebaikan itu “fitrah”, dan madrasah Ramadhan sememangnya membantu usaha tajdidul fitrah (perbaikan fitrah) ini, hingga begitu tamatnya Ramadhan kita berhak merayakan kejayaan pulangnya insan kepada fitrahnya. Ianya merupakan detik di mana surau-surau kembali dipenuhi, kembali diimarahkan. Waktu di mana program-program atau aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan, kembali mendapat sambutan. Masa di mana sensitivity untuk beribadah senantiasa membasahkan. Maka, tidak bolehkah engkau berkorban sedikit, demi menginfakkan dirimu untuk umat, sempena datangnya bulan Ramadhan yang mulia ini? Tidak bolehkah engkau berperanan dalam menjayakan semua tugas-tugas mulia ini, berbanding hanya berharap “menguasai” atau “memimpini” kariah surau dan masyarakat setempat anda?

Maafkan saya wahai para jiran. Izinkan saya selfish cuma untuk satu malam ini, demi menghilangkan rindu di hati, untuk tenggelam dalam kekhusyukan ibadah kepada Tuhanku, agar lebih bererti tarbiyah ramadhanku kali ini.

Posted in Uncategorized | 6 Komen

ATTACKING (Final Champions League 1998/99) – edisi kemas kini

ATTACKING

 

26 Mei 1999. Ribuan manusia yang membanjiri Stadium Nou Camp –sebuah stadium besar berkapasiti 100,000 tempat duduk, di tengah-tengah kota Barcelona- sudah mula berputus harap. Kelihatan air mata bergelinang di wajah sebahagian. Ratapan kekecewaan pada sebahagian. Dan wajah pilu lagi muram pada sebahagian yang lain. Para wartawan sudah pun mula menaip-naip berita untuk hari esok, biar pun wisel keramat sang pengadil Itali masih belum dibunyikan.

Hakikatnya, segalanya sudah tamat. 90 minit masa permainan sudah berlalu, dan pasukan pujaan jutaan manusia, Manchester United sedang ketinggalan 1-0 kepada Bayern Munich, terima kasih kepada gol jaringan Mario Basler. Mungkin seluruh dunia sudah mula menerima hakikat, betapa Manchester United harus berputih mata sekali lagi pada kejohanan Piala Juara-Juara Eropah musim ini. Dan mungkin juga seluruh dunia sudah mula membayangkan perayaan besar-besar pasukan jagoan Negara Jerman ini.

Dengan masuknya permainan ke masa kecederaan, pasukan MU tiba-tiba beroleh corner kick. Seluruh pemain pasukan MU sudah naik ke atas, berkampung di kawasan gol Bayern, yang dikawal ketat oleh Oliver Kahn (tiada kena-mengena baik dengan Salman Khan, baik dengan Shah Rukh Khan, baik dengan Yasmin Khanif). Ini termasuklah penjaga golnya heroiknya, Peter Schmeichel, yang kelihatannya sudah tidak mempedulikan gawangnya sendiri.

Tiba-tiba, semua manusia tersentap. Bola sepakan David Beckham, melangkaui sang penjaga gawang Peter Schmeichel, untuk dihantar kembali ke “perkampungan manusia” oleh Dwight York, dan gagal di keluarkan kemas oleh Thorsten Fink. Namun, Ryan Giggs hanya mampu menyepak lemah bola itu. Tetapi, bak firman ALLAH di dalam al-Quran; “boleh jadi hal yang kamu tidak suka, hal itulah yang terbaik untukmu.” (al-Baqarah [2]:216) , lemah tak lemahnya sepakan Ryan Giggs itu, sudah cukup untuk Teddy Sheringham memasukkan bola ke penjuru bawah gawang Bayern.

Seluruh dunia terkejut! Begitulah, barangkali mereka terlupa akan pesan nabi SAW, agar kita hendaknya selalu mempunyai harapan. Yang dengan harapan itu, biar pun esok kiamat, sedang di tangan kita ada biji benih, “tanam!” kata Nabi SAW seperti yang dikutip oleh Muhammad al-Ghazali di dalam buku Hadith-hadith Pilihan-nya. Serta-merta, ada sinar baru berputik di mata semua.

Belum pun sempat wisel ditiupkan, satu lagi corner kick diperoleh oleh Manchester. Dan seperti ulangan gol pertama, kali ini Ole Gunnar Solskjaer, juga pemain gantian, mencipta suatu keajaiban dan kejutan, sekaligus melakarkan namanya dalam pahatan sejarah dengan penuh keharuman.

Kejutan? Sudahkah kau lupa dengan pesan Nabi Ya’kub? “Janganlah kamu berputus asa daripada mengharap rahmat ALLAH. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada mengharap rahmat ALLAH melainkan orang-orang Kafir.” (Yusuf [12]:87)

 

Sahabatku,

Untuk menyerang, tidaklah bermakna hanya pemain posisi penyerang yang harus melaksanakannya. Seperti naiknya seluruh pemain MU, hatta Peter Schmeichel, untuk membantu strategi menyerang pasukannya, sesuai dengan keperluan, maka sebegitu jugalah kita. Ketika para asatiz (ustaz-ustaz) sudah tidak cukup tenaga untuk “menyerang” kejahilan, bagi menerobos hati-hati manusia dengan cahaya kebenaran, tidak pantaskah kita, para engineer, para doctor, para guru, para jururawat dan sebagainya, turut sama membantu taktik “menyerang” ini? Tidak pantaskah kita turut berperanan, demi memastikan piala kemuliaan, berada di pihak pasukan kebenaran?

Ingat, pasukan MU pada hari itu, berjaya mengungguli pentas eropah, sekaligus mencipta sejarahnya yang tersendiri (Treble Winners) terima kasih kepada pemain gantian. Iya, pemain gantian. Maka masih adakah “pemain” yang tidak penting dalam perjuangan ini?

Dan kita, wahai “pemain di atas padang”, adakah selamanya kita harus bermain dengan taktik bertahan? Apakah semua kondisi menyerang bakal mengundang malapetaka kepada perjuangan? Lihatlah bagaimana hikmahnya para Muslimin US, tatkala para konspirator menjadikan tragedy 9/11 sebagai medan untuk mereka (orang Islam) bertahan, ternyata keadaan mengizinkan startegi perjuangan berlainan. ALLAH izinkan “hal yang tidak baik” itu, justeru menjadi advantage buat orang beriman, hingga mereka beroleh kesempatan untuk bertukar taktik kepada “menyerang”, sekaligus makin ramai yang mengenali islam, sekaligus makin berkurangnya Islamphobia dalam masyarakat di sana. Bahkan, seperti indahnya jaringan kemenangan Sheringham dan Solskjaer, Islam berjaya juga menjaringkan “gol” hidayah ke relung-relung hati masyrakat di sana, hinggakan Islam kemudiannya menjadi the fastest growing religion in the west. Syaratnya, strategi kita. Syaratnya, kerja keras kita. Syaratnya keterlibatan kita. Syaratnya kesungguhan dan ketidak putus asaan kita.

Maka biarpun kita menjadi “pemain simpanan”, kita tetap bisa menyumbang untuk membawa pulang “piala kemenangan.” Dan sungguh, Islam akan pasti menang. Sooner, or later.

 

  • Saya, isteri (Nur Hanani Makhtar) dan anak-anak (Nashrul Farhan & Fathul Farhan) mengucapkan Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin buat semua.
Posted in Uncategorized | 7 Komen

Highlander

 

Tanganku akan hancur di dalam tanah  

Yang tinggal hanya tulisanku di dalam buku

Moga sesiapa yang membaca tulisanku    

doakanlah keselamatanku dari Azab (api neraka).

-syair arab-

Saudaraku,

Untuk apa dikau menulis? Untuk memenuhi masa lapang mu? Untuk memenuhi minat dan hobi menulis mu? Untuk beroleh pujian dan sanjungan orang? Atau, kerana engkau sedar, betapa kelak ke bumi juga tempat kembali mu. Ajal jua yang akan datang menjemputmu. Mayat jua, kesudahan hidupmu. Lalu bagaimana caranya untuk engkau kekal hidup? Bukan, bukan dengan mempercayai segala tahyoul-mahyol orang-orang Barat, bahawa ada telaga tersembunyi di bawah sana. Yang begitu dikau meminumnya, kau akan kekal muda selamanya. Tidak cukupkah kemudaan yang dianugerahkan Tuhan buat para penghuni Syurga, untuk kau kejar lalu membara menjadi cita-cita?

Biarkanlah mereka menanam jasadmu. Tetapi, biarkan pula hidup kekal fikrahmu. Mereka, para jahil-jahil di luar sana, berbicara kehidupan sang mati sebagai hantu. Tetapi kamu, para ibadurrahman, berbicara kehidupan pasca kematian sebagai fikrah yang hidup, yang kemudiannya menghidupkan pula manusia-manusia lainnya.

Fikrah yang makin berkembang dan membiak. Berjangkit, tetapi tidak berpenyakit. Berkembang, tetapi bukan menggemukkan. Membiak, tetapi dalam konteks amal-amal soleh.

Fikrah akhi, fikrah. Biarkanlah fikrah mu hidup kekal, dan mewarnai masyarakatmu dengan roh islam. Agar, sesiapa yang membaca fikrah mu yang masih tertinggal, akan senantiasa mendoakan untukmu keselamatan. Keselematan tatkala meniti titian Shirat. Keselamatan tatkala cuba melepasi “security guard” untuk masuk ke premis Syurga. Keselamatan daripada melencong pula ke lembah Neraka.

Ya ALLAH, biarkanlah fikrah kami kekal hidup, seperti hidupnya fikrah seorang ghulam, yang biar tertanam jasad di perkuburan, fikrahnya hidup dan lagi menghidupkan. Hinggakan fikrahnya menyumbangkan syuhada’ di perparitan. Lalu dipahat indah kisahnya di dalam al-Quran:-

Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit.
 
yang berapi (dinyalakan dengan) kayu bakar,
 
ketika mereka duduk di sekitarnya,
 
sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman.
 
Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin itu melainkan karena orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,
 
Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.
 
Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cobaan kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertobat, maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.
 
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh bagi mereka surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; itulah keberuntungan yang besar.
 
Sesungguhnya azab Tuhanmu benar-benar keras.

(Surah al-Buruj [85]: 4-12)

Inilah “immortal” yang sesungguhnya. Ya, inilah kehidupan tanpa kematian.

Posted in Uncategorized | 4 Komen